Rabu, 25 Ogos 2021

Rakus yang tak habis-habis

Sikap rakus khususnya hendak segala-galanya terus diperlihat oleh ahli politik walaupun setelah berjaya dalam gangguan politik yang mereka lancarkan sehingga berhasil mencapai matlamatnya, antaranya menukar kerajaan. Meskipun berlaku perubahan dalam pemerintahan negara, ia tidak berjaya direbut kelompok ahli politik tertentu.

Sebaliknya diraih kelompok lain.

Tawaran politik dwipartisan oleh pemerintahan terdahulu bukan sahaja ditolak mentah-mentah tanpa mahu melihatnya langsung, ia juga diperlekeh dan dikeji. Ini kerana bukan ia tidak bagus tetapi mereka meyakini peluang baik mendapat kuasa untuk diri sendiri tanpa perlu berkongsi melalui politik damai yang dihulurkan itu.

Setelah kecundang, mereka ini khususnya ahli politik Cina mahu menjilat ludah sendiri dengan memohon politik dwipartisan itu kembali diamalkan oleh pemerintahan baharu yang tidak pernah pun menawarkan pakej sebegitu.

(*) Setelah menyedari kejayaan menukar kerajaan itu ibarat terlepas dari mulut buaya masuk ke mulut (harimau, mereka tanpa segan silu menuntut tawaran pemerintahan terdahulu daripada pemerintahan baharu yang tiada kena mengena dengan tawaran itu. Sikap ini bukan sahaja penuh dengan tahap lahap yang sangat menjijikkan, ia pemikiran dan tingkah laku amat terdesak sehingga sanggup menerima kembali sesuatu yang pernah dicemuh. Sesungguhnya ini sikap orang yang tidak tahu malu.

Selain itu, mereka senantiasa hendak memperoleh keuntungan sepanjang jalan. Sehubungan itu, mahu menolakkannya sebab yakin dengan keuntungan lebih besar untuk merebut kuasa dan hendak menerimanya semula setelah kehilangan peluang kekuasaan yang diingini itu. Tidak dapat dinafikan, sikap ini gelojoh sekali kerana mahu memperoleh dua habuan sekali gus. Ini ibarat mahu memakan sesuatu kesemuanya dan juga mahu menyimpan kesemuanya pada masa sama. Untuk itu, hanya satu yang perlu dipilih, sama ada makan atau simpan.

Begitu halnya dengan tawaran itu, sama ada diterima pada kesempatan pertama dihulurkan atau kehilangannya selama-lamanya. Namun, itulah sikap bangsat lagi bajingan yang ada pada ahli politik berkenaan walaupun masih terdapat yang tidak rakus.

Syabas kepada yang memiliki integriti, sesetengahnya tinggi sekali kerana pada setiap masa mengamalkan politik formal yakni prinsip kekuasaan yang pertama-tamanya mengutamakan kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara. Mereka ini mahu menerima tawaran oleh pemerintahan terdahulu walaupun masih berseteru dari segi politik. Ini mahu dilakukan semata-mata demi kepentingan negara tercinta dan bukan untuk kebaikan diri dan parti politik mereka. Sebetulnya negara amat memerlukan mereka ini yang tidak pun ramai pada jumlah lebih besar.

Nasihat diraja agar wujud perdamaian politik pada masa genting ini didapati tidak pun diendahkan ahli politik rakus dalam mereka menggerakkan agenda politik sendiri dan parti. Ia hanya baru mahu diambil hirau apabila sesuai dengan agenda serakah mereka itu. Ini dapat dlihat dengan jelas setelah gagal merebut kuasa, mereka mencadangkan perdamaian yang persengketaannya dicetuskan mereka sendiri dengan tidak mahu menerima tawaran dwipartisan itu.

Kini ia mahu diterima malah dituntut pula daripada pihak lain yang sama sekali tidak menawarkannya. Ini bukan sahaja sama sekali tidak betul dari segi moral, ia memperlihat kebebalan yang jahil.

LUMAYAN

Tidak keterlaluan jika dikatakan mereka ini mengeksploitasi keadaan untuk kepentingan mereka sahaja termasuklah dengan memanipulasi nasihat diraja itu. Dalam hal ini, mereka menuntut agar politik dwipartisan diamalkan kini atas nama nasihat diraja setelah gagal merebut kuasa.

Dengan menolak tawaran itu dalam bentuk yang ditawarkan pemerintahan terdahulu, ia sebenarnya bukan kesempatan yang terlepas, iaitu boleh ada lagi dalam waktu terdekat ini. Ia kesempatan yang hilang, yakni tidak ada lagi untuk jangka waktu lama atau mungkin selama-lamanya.

Sebenarnya, ia tawaran lumayan untuk rakyat dan negara yang dijanjikan akan disempurnakan kesemuanya dalam waktu sesingkat dua tahun sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). Akan tetapi ia bukan sahaja disangsikan tanpa mahupun berbincang, ia dicemuh habis-habisan. Kini setelah ia barangkali hilang selama-lamanya, barulah terasa ia satu tawaran yang bukan sahaja baik lagi ikhlas tetapi dituntut diadakan semula daripada pihak lain yang mungkin tidak pun ada rancangan begitu untuk kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

Hilangnya kesempatan ini adalah kerana kerakusan yang bukan sahaja memperlihat kepentingan diri sendiri dan parti politik mereka yang diutamakan, lebih dahsyat lagi ialah kepentingan rakus ini didapati berlebih-lebihan pula sehingga membawa kepada keadaan mudarat bagi pihak lain, iaitu rakyat dan negara.

Kerakusan pada ahli politik sebenarnya adalah cerminan mereka langsung tidak ada empati terhadap kebajikan rakyat yang sepatutnya menjadi tanggungjawab utama mereka. Ia juga memperlihat mereka tiada perasaan ikhlas terhadap rakyat. Sehubungan itu, mereka tiada gagasan baik apatah lagi yang luhur untuk mensejahterakan rakyat dan memajukan negara.

Sesungguhnya tiada yang lebih keji daripada adanya ahli politik rakus. Ini kerana mereka mengambil bagi diri sendiri lebih banyak daripada yang mereka berikan kepada rakyat dan negara. AGENDA DAILY

Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong
Felow Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Majlis Profesor Negara.

Tiada ulasan: