Rabu, 18 Ogos 2021

Polis serbu pesta dadah di kondo, 8 termasuk 4 wanita warga asing dicekup

Polis sebahagian individu selepas dipercayai terlibat dalam pesta dadah di sebuah kondominium di Jalan Lestari, Seberang Perai, Pulau Pinang semalam. Foto PDRM

SERAMAI lapan individu termasuk empat wanita warga asing ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam pesta dadah di sebuah kondominium di Jalan Lestari, Seberang Perai, Pulau Pinang semalam.

Turut ditahan dalam serbuan itu ialah tiga lelaki  dan seorang wanita tempatan berusia antara 25 hingga 40 tahun.

Kesemua mereka ditahan dalam serbuan oleh sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang dalam operasi kira-kira pukul 6 petang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais berkata, serbuan di unit tingkat 10 kondominium tersebut dilakukan selepas polis menerima maklumat daripada orang awam.

Ketika serbuan katanya, kesemua suspek dikatakan sedang berhibur dengan bunyi alunan muzik kuat serta meminum jus campuran dadah.

“Siasatan mendapati kediaman itu disewa oleh salah seorang suspek lelaki sejak setahun yang lalu dan kesemua mereka datang ke situ bersama pasangan dan kenalan untuk berhibur.

“Pemeriksaan di dalam kediaman tersebut  menemukan pelbagai jenis dadah antaranya pil Eramin 5, pil ekstasi, jus campuran dadah serta syabu yang dipercayai digunakan mereka untuk berhibur.

“Polis turut merampas peralatan sistem audio dan lampu disko, ” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Rahimi, hasil ujian air kencing ke atas suspek mendapati tujuh daripada mereka positif dadah.

Jelasnya, polis tidak menolak kemungkinan mereka menjadikan kediaman sewa itu sebagai lokasi berhibur ekoran pusat hiburan tidak beroperasi dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan (kesalahan kecuaian yang boleh menyebabkan jangkitan penyakit merbahaya); Sek. 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Sek. 15(1)(a) akta yang sama,” katanya.

Sementara itu, beliau berterima kasih kepada orang awam yang memberikan maklumat berkaitan parti berkenaan selain mengalu-alukan kerjasama daripada orang ramai dalam menyampaikan maklumat kegiatan jenayah kepada pihak polis.

Tiada ulasan: