Isnin, 9 Ogos 2021

Polis akan soal siasat Mahathir isu perarakan di luar Parlimen

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Polis akan menyoal siasat bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad tengah hari ini berhubung penglibatannya dalam perhimpunan di luar bangunan Parlimen pada Isnin lalu.

Soal siasat itu dijangka dibuat di pejabat Mahathir di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya, pada pukul 2.30 petang.

Mahathir, yang merupakan pengerusi penaja Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), menyertai perhimpunan itu atas kapasitinya sebagai ahli parlimen Langkawi.

Anaknya yang juga ahli parlimen Jerlun, Mukhriz Mahathir, akan turut disoal siasat.

Sementara itu, beberapa ahli parlimen PH akan turut disoal siasat polis di ibu pejabat polis (IPD) Dang Wangi pagi ini.

Antara yang dipanggil adalah William Leong (PKR-Selayang), Tan Kok Wai (DAP-Cheras) dan Teo Nie Ching (DAP-Kulai) dan Nik Nazmi Nik Ahmad (PKR-Setiawangsa).

Sebelum ini, polis telah mengambil keterangan sekurang-kurangnya 16 ahli parlimen pembangkang, termasuk Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim.

Pada Isnin lalu, ahli parlimen pembangkang berkumpul untuk berarak ke bangunan Parlimen namun dihalang oleh pasukan Pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU).

Perarakan itu susulan tindakan kerajaan menangguhkan sidang khas Dewan Rakyat kerana penularan Covid-19.

Bagaimanapun, pembangkang mendakwa ia ditangguhkan kerana ketidaktentuan majoriti yang dimiliki Muhyiddin pada masa ini.

Tiada ulasan: