Khamis, 19 Ogos 2021

PN sokong Ismail Sabri sebagai PM dengan syarat


Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perikatan Nasional (PN) menegaskan sokongan penuh parti-parti politik gabungannya kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah dengan beberapa syarat, termasuk memastikan Jemaah Menteri yang bakal dilantik bukan daripada individu yang berdepan sebarang pertuduhan jenayah di mahkamah.

Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Ismail Sabri juga perlu memastikan individu yang dilantik menganggotai Kabinetnya terdiri daripada mereka yang berintegriti dan amanah.

“Parti Perikatan Nasional (PN) telah sebulat suara bersetuju untuk mencalonkan mantan Timbalan Perdana Menteri, YB Dato’ Sri Ismail
Sabri bin Yaakob, sebagai calon Perdana Menteri Kerajaan Perikatan Nasional yang baharu.

“Keputusan ini dibuat demi menjamin kesinambungan dasar-dasar Kerajaan Perikatan Nasional yang sedang menumpukan kepada usaha memerangi Covid-19 dan memulihkan negara sehingga tiba masa yang sesuai untuk diadakan Pilihanraya Umum bagi mengembalikan mandat kepada rakyat.

“Sekiranya dilantik sebagai Perdana Menteri oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, beliau
hendaklah memastikan Ahli Jemaah Menteri yang bakal dilantik nanti adalah terdiri daripada mereka yang berintegriti, beramanah dan bebas daripada sebarang pertuduhan jenayah di mahkamah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhyiddin berkata pada masa sama Ismail juga perlu meneruskan amalan menghormati prinsip pengasingan kuasa, melindungi kebebasan badan kehakiman dan menjunjung konsep Raja Berperlembagaan.

Menurutnya semua 50 Ahli Dewan Rakyat daripada part-parti gabungan PN, termasuk empat wakil rakyat Bebas pro-PN menyerahkan Akuan Bersumpah kepada Istaa Negara dengan memberi sokongan kepada Ismail Sabri.

“Saya juga telah berunding dengan pimpinan parti GPS dan PBS yang membentuk Kerajaan Perikatan Nasional sebelum ini untuk mengambil ketetapan yang sama,” katanya.

Beliau berkata, keputusan mencalonkan Ismail Sabri menunjukkan PN lebih mengutamakan kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat berbanding politik dendam dalam persaingan merebut kuasa.

“Apabila berhadapan dengan situasi krisis, ahli politik mesti berjiwa besar (magnanimous) demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya.

Muhyiddin berharap proses pelantikan Perdana Menteri yang baharu dapat berjalan lancar dan dimuktamadkan dalam masa terdekat menurut kehendak Perlembagaan Persekutuan.

“Selaku Pengerusi Perikatan Nasional, saya akan meneruskan khidmat bakti kepada rakyat dan mempersiapkan parti bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke-15 apabila tiba masanya,” katanya.

Tiada ulasan: