Isnin, 16 Ogos 2021

Perkhidmatan Awam negara tidak terkesan dengan situasi semasa

PUTRAJAYA: Perkhidmatan Awam negara tidak akan terkesan dengan situasi semasa negara, sebaliknya terus menggalas amanah dipertanggungjawabkan.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, berkata ia berikutan kerjasama serta kesefahaman kukuh dan jitu antara setiap agensi kerajaan menjadi kunci utama kejayaan bagi setiap pelaksanaan program dan inisiatif sedia ada.

Katanya, beliau melihat dan merasai sendiri bagaimana komitmen dan dedikasi pelbagai pihak terutama penjawat awam yang bertugas tanpa kenal erti penat lelah dalam memastikan usaha kerajaan membendung serta melandaikan keluk jangkitan COVID-19 yang diharungi bersama lebih setahun lalu.

"Penjawat awam akan terus menggalas amanah yang dipertanggungjawabkan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan berpegang teguh kepada ikrar Perkhidmatan Awam dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara.

"Dalam mendepani situasi semasa, saya memberi jaminan bahawa Perkhidmatan Awam sentiasa memberikan komitmen penuh dalam memastikan sistem penyampaian kerajaan tidak terjejas berteraskan dasar semasa Kerajaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tiada ulasan: