PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau kini akan menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri sementara, sebagaimana diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, selepas menerima peletakan jawatannya tengah hari tadi.
"Ia adalah tugas yang terhormat. Saya akan terus jalankan tugas sebagai Perdana Menteri sementara ini, bagi membantu negara," katanya dalam pertemuan dengan editor kanan media di pejabat Perdana Menteri di sini, petang tadi.
Muhyiddin yang menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri tengah hari tadi kepada Yang di-Pertuan Agong, berkata beliau akan memikul tanggungjawab itu dan berharap lantikan penggantinya dibuat secepat mungkin.
Mengulas lanjut, katanya, apabila Yang di-Pertuan Agong memintanya meneruskan tugas sebagai Perdana Menteri sementara, beliau terus merujuk kepada Peguam Negara mengenai bidang tugas itu.
"Saya telah mendapatkan pandangan Peguam Negara yang kemudiannya menyatakan bahawa saya boleh menjalankan fungsi eksekutif dan menasihati Yang di-Pertuan Agong sehingga perdana menteri yang baharu dilantik.
Apabila ditanya sama ada barisan Jemaah Menteri akan dikekalkan sebagai Kabinet sementara, Muhyiddin berkata, setahunya hanya beliau seorang yang akan menjalankan tugas.
"It is a one man show," katanya secara berseloroh.
Mengenai tanggungjawab dan kuasa sebagai Perdana Menteri sementara, Muhyiddin berkata ada keterbatasan kuasa, tidak seperti sebelum ini (menjadi Perdana Menteri).
"Sebagai contoh, saya tidak boleh tanda tangan cek bernilai RM1
billion. Saya perlu rujuk dan ikut nasihat Peguam Negara," tambah
beliau. – BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan