Selasa, 10 Ogos 2021

Pengusaha restoran udang galah lega, pelanggan boleh dine-in

 Oleh AIN SAFRE BIDIN

MUHAMMAD Nur Faris Fiza Muhammad Saufi membersihkan meja di Restoran Udang Galah di Teluk Intan semalam sebagai persiapan untuk menerima kehadiran pelanggan secara dine-in mulai esok. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN

TELUK INTAN: Pengusaha Restoran Udang Galah popular di bandar ini menarik nafas lega apabila kerajaan membenarkan individu yang melengkapkan suntikan dua dos vaksin Covid-19 makan di restoran.

Pengusaha restoran tersebut, Muhammad Nur Faris Fiza Muhammad Saufi berkata, pengumuman itu sememangnya sudah lama dinanti-nantikannya setelah peniaga makanan hanya dibenarkan membuat jualan secara bungkus sejak dua bulan lalu.

Katanya, pengumuman yang dibuat oleh kerajaan kelmarin sudah tentu menggembirakan para peniaga makanan sepertinya.

“Terima kasih kepada kerajaan kerana membuat pertimbangan yang wajar untuk pelanggan makan di dalam premis, duduk di meja.

“Sebaik sahaja pengumuman itu, saya dan para pekerja membuat persiapan di restoran hari ini untuk menerima semula para pelanggan esok dan saya pasti pelanggan pun sudah lama mahu makan di dalam restoran.

“Saya amat gembira dengan pengumuman ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.

Menurutnya, berikutan pengumuman itu, sebagai peniaga dia akan memastikan tahap pematuhan prosuder operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ketat kepada pelanggan dan para pekerjanya.

Katanya, perkara pertama yang akan dilaksanakan esok ialah memastikan pelanggan yang datang sudah lengkap dua dos vaksin Covid-19 pada aplikasi MySejahtera atau pada kad vaksinasi.

“Saya akan memastikan pelanggan menjalani pemeriksaan suhu, mematuhi jarak fizikal, memakai pelitup muka dan menggunakan cecair pembasmi kuman sepanjang berada di premis ini.

“Ini sebagai tanda terima kasih kepada kerajaan dan menjadi tugas peniaga dalam memastikan SOP dipatuhi,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: