Ahad, 1 Ogos 2021

Penduduk Lembah Klang boleh ‘walk-in’ di 9 PPV terpilih mulai 2 Ogos ini

 
Individu mendapat janji temu tidak dibenarkan ‘walk-in’ dan tidak dibenarkan 
membatalkan janji temu diberikan bagi tujuan ‘walk-in’

PETALING JAYA: Sembilan pusat pemberian vaksin (PPV) di Lembah Klang dibuka untuk penerima ‘walk-in’ bermula 2 Ogos ini, kata Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (CITF).

Dalam satu kenyataan badan bertindak itu, berkata PPV berkenaan adalah Pusat Konvensyen Kuala Lumpur HCO F, HCO G dan HCO H; Pusat Konvensyen Bangi Avenue; Hotel Wyndham, Klang; Dewan Tun Razak, Sabak Bernam; Dewan Komuniti Serendah; Pusat Konvensyen dan Hotel Movenpick KLIA serta Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam.

CITF berkata, vaksinasi ‘walk-in’ bagi warganegara di Lembah Klang berumur 40 tahun ke atas atau kumpulan komorbid bermula 2 Ogos hingga 4 Ogos ini, manakala 5 Ogos hingga 22 Ogos pula, terbuka untuk semua warganegara berusia 18 tahun ke atas.

Bagi bukan warganegara pula, hanya PPV Stadium Nasional Bukit Jalil, dikhususkan untuk program vaksinasi ‘walk-in’ warga asing yang bermula pada 9 Ogos hingga 11 Ogos ini bagi mereka berusia 40 tahun ke atas atau golongan komorbid.

Sementara itu, pada 12 Ogos hingga 22 Ogos ini, terbuka kepada semua bukan warganegara berusia 18 tahun ke atas di Lembah Klang.

“Masa untuk ‘walk-in’ bermula jam 2 petang setiap hari tertakluk kepada hari operasi PPV masing-masing. Penerima vaksin perlu menunjukkan lokasi bermastautin di Lembah Klang seperti kad pengenalan, bil utiliti, kad pelajar, manakala golongan komorbid perlu membawa bukti seperti kad rawatan atau kad janji temu.

“Bagi mereka yang tidak mempunyai dokumen pengenalan atau perjalanan yang sah, mereka akan melalui proses ditetapkan dalam satu Garis Panduan Pengurusan Pemberian Vaksin Kepada Individu Bukan Warganegara dikeluarkan oleh CITF,” menurut kenyataan itu.

Katanya, program itu berdasarkan ‘siapa cepat’ bergantung kepada kapasiti bekalan di PPV, yang mana individu ‘walk-in’ akan diletakkan dalam senarai menunggu untuk hadir semula pada keesokan hari, sekiranya bekalan vaksin pada hari berkenaan habis.

Dalam pada itu, CITF berkata program vaksinasi ‘walk-in’ menerusi program jangkauan di kawasan pinggiran Lembah Klang, ia akan bermula secara berperingkat mulai 9 Ogos ini.

“Jadual pergerakan, iaitu tarikh dan lokasi bergantung kepada perancangan pihak terlibat, seperti NGO dan agensi kerajaan yang menganjurkan Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) serta lain-lain agensi seperti Pejabat Daerah dan Pejabat Kesihatan di kawasan sasaran.

“Hebahan tarikh, masa dan lokasi akan dilakukan melalui media sosial, media tradisional dan melalui kerjasama dengan Pejabat Daerah yang berkenaan serta Jabatan Penerangan Negeri Selangor,” katanya.

CITF menegaskan, sistem ‘walk-in’ hanya untuk penduduk di Lembah Klang yang tidak mempunyai sebarang jani temu di aplikasi MySejahtera.

“Individu yang mendapat janji temu adalah tidak dibenarkan untuk ‘walk-in’. Mereka juga tidak dibenarkan untuk membatalkan janji temu yang diberikan bagi tujuan ‘walk-in’ sekiranya janji temu sedia ada adalah pada tarikh yang akan datang,” kata CITF.

Tiada ulasan: