AGENDA DAILY
Blok pembangkang hanya lebih minat berbicara mengenai soal kuasa dan politik berbanding membincangkan permasalahan Covid-19 serta kesusahan rakyat, kata Tan Sri Annuar Musa.
Ahli Parlimen Ketereh itu membidas sikap pemimpin pembangkang yang terserlah semasa sidang Parlimen baru-baru ini apabila lebih berminat mengasak soal politik dan mahu mengugat kedudukan kerajaan dengan pelbagai cara.
“Namun apabila parlimen bersidang, mereka langsung tidak peduli, malah tidak pun berminat berbincang bagaimana isu Covid-19 diuruskan, dan bagaimana ekonomi patut dipulihkan.
“Langsung tidak ada usaha ke arah itu. yang mereka asak adalah soal politik dan menggugat kedudukan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Lebih malang lagi menurut Annuar apabila kemunculan kes jangkitan Covid-19 di Parlimen baru-baru ini yang dibimbangi akan menular, malah sudah 70 orang sudah dikesan positif setakat ini sejak seminggu sidang berjalan.
“Dalam tempoh seminggu sahaja, dari hari persiapan persidangan parlimen sehingga 30 Julai, sudah 70 kes disahkan positif di parlimen.
“Entah berapa ramai kontak rapat mereka ini? Entah berapa ramai lagi bakal positif Covid-19 beberapa hari lagi?” ujarnya.
Bagaimanapun, pembangkang nampaknya seakan kebal Covid-19 dan tidak menghiraukan keselamatan orang lain dan mahu meneruskan sidang Parlimen demi kerakusan untuk merampas kuasa semata-mata.
“Berapa ramai yang telah pulang ke kawasan masing-masing di seluruh negara dengan membawa virus Covid-19 ini?
“Mereka hanya peduli bagaimana kerajaan boleh dijatuhkan dan bagaimana mereka boleh merampas kuasa dan jawatan perdana menteri,” katanya.
Lebih menghairankan, kali ini pembangkang cuba mengheret Yang di-Pertuan Agong dalam permainan politik mereka dan ia terbukti apabila beberapa kali nama Baginda dibangkitkan demi cita-cita politik mereka.
“Pembangkang kelihatan begitu ghairah mahu mengheret Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah ke dalam game plan mereka. Mereka merasakan ‘ini kali lah’.
“Berkali-kali nama YDPA digunakan dalam hujah mereka di parlimen, walaupun ia jelas tidak dibenarkan di bawah standing order parlimen,” katanya lagi.
Tegasnya, kerajaan Perikatan Nasional yang dipimpin Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin masih memiliki majoriti dan pembangkang sebaliknya cuba memberi gambaran kononnya kerajaan sudah tidak lagi mempunyai sokongan yang kukuh.
“Sebenarnya, negara kita tidak pun menghadapi krisis, kerajaan kekal stabil, jauh sama sekali dari krisis Perlembagaan.
“Malah negara juga tidak menghadapi krisis kepercayaan. Pastinya setakat ini, tiada seorang pun boleh menyatakan dia mempunyai sokongan majoriti kecuali Perdana Menteri,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan