Isnin, 9 Ogos 2021

Muqarabbin hadiah RM15,000 kepada Azizulhasni, RM10,00 untuk Aaron,Wooi

 

KEJAYAAN beremosi pelumba basikal negara, Datuk Azizulhasni Awang merangkul pingat Perak acara Keirin Olimpik 2020 dan pingat Gangsa oleh Aaron Chia/Soh Wooi Yik dalam acara badminton beregu lelaki, bakal disusuli dengan pelbagai insentif daripada pelbagai pihak.

Antara yang terawal menawarkan hadiah penghargaan kepada pemenang pingat untuk negara itu ialah Penjelajah Grand Slam, Datuk Muhammad Muqarabbin Mokhtarudin atau Datuk Qobin atas kapasiti peribadinya.

Beliau menghadiahkan RM15,000 kepada Azizulhasni dan RM10,000 untuk Aaron Chia/Wooi Yik.

“Sebagai atlet, saya merasa cukup bangga dengan pencapaian yang dilakar oleh sahabat saya Datuk Jijoe (Azizulhasni) dan pasangan beregu badminton Aaron Chia dan Wooi Yik atas kejayaan mereka membawa pulang pingat untuk negara”

“Pencapaian mereka sungguh bermakna kepada seluruh rakyat Malaysia dan sebagai tanda terima kasih, saya menghadiahkan sumbangan kecil saya ini untuk mereka atas kapasiti peribadi saya” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam Muqarabbin membuat kenyataan awal menawarkan sumbangan RM25,000 dan pakej Tunai Haji kepada pemenang pingat Emas, RM15,000 pemenang Perak dan RM10,000 bagi pingat Gangsa Sukan Olimpik 2020, sebagai pembakar semangat kepada dua pelumba basikal trek negara, Datuk Azizulhasni dan Mohd Shah Firdaus Shahrom selepas mereka melayakkan diri ke peringkat suku akhir acara Keirin semalam.

Menurut Muqarabbin, pengorbanan Azizulhasni tidak ada nilainya selepas melalui pelbagai dugaan dalam kariernya termasuk meninggalkan keluarga dan melupakan kehidupan muda demi menjulang nama negara dipersada dunia.

“Beliau sememangnya seorang yang amat luar biasa dan sangat berjiwa kental. Datuk Jijoe telah mengorbankan segalanya untuk Malaysia dan kita sebagai rakyat Malaysia perlu menghargainya dalam apa juga bentuk sekalipun”.

“Saya mengucapkan sekalung tahniah dan terima kasih kepada Datuk Jijoe kerana telah mengharumkan nama Malaysia serta menggembirakan seluruh rakyat Malaysia dengan pingat Perak yang diperolehinya”.

“Kepada Aaron dan Wooi Yik, saya juga berbangga dengan anda berdua di mana anda juga adalah wira negara yang telah menyatukan seluruh rakyat Malaysia pelbagai bangsa menerusi kemenangan pingat gangsa dan terimalah sumbangan ini sebagai penghargaan daripada saya”,” katanya.

Tiada ulasan: