Rabu, 18 Ogos 2021

Muhyiddin bakal jadi mentor menteri buat Ismail Sabri?

(Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Muhyiddin Yassin, yang baru sahaja meletak jawatan sebagai Perdana Menteri, mungkin menjadi mentor menteri jika Ismail Sabri Yaakob dilantik memegang jawatan tertinggi negara itu, menurut desas desus dalam kalangan lingkungan politik.

Dan kini nampaknya, Ismail memiliki angka sokongan mencukupi untuk menjadi Perdana Menteri interim.

Ini susulan laporan bahawa semua 42 Ahli Parlimen Barisan Nasional sebulat suara bersetuju menyokong Naib Presiden Umno itu memegang jawatan berkenaan, walaupun sebelum ini, segelintir berkata, mereka tidak akan memberi sokongan.

Bersatu dan PAS juga berkata, mereka akan menyokong Ismail.Tambahan, pemimpin Gabungan Parti Sarawak Wan Junaidi Tuanku Jaafar memberitahu FMT pagi ini, gabungan berkenaan turut bersetuju secara prinsip untuk menyokong Ismail.

Dengan ini, Ismail, yang berkhidmat sebagai timbalan Muhyiddin selama lebih sebulan, berkemungkinan mendapat sokongan yang cukup daripada Ahli Parlimen dalam usaha untuk dinamakan sebagai Perdana Menteri interim.

Khabar angin kuat mengatakan, jika Ismail menjadi Perdana Menteri, Muhyiddin, yang kini menjadi Perdana Menteri sementara (caretaker), akan dimasukkan ke dalam Jemaah Menteri sebagai mentor menteri.

Tiada ulasan: