Seorang lagi pemimpin senior UMNO, Tan Sri Annuar Musa mengkritik tindakan Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang tidak jelas dalam membawa hala tuju parti selepas tindakan melulunya menarik sokongan daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Ahli Parlimen Ketereh itu mempersoalkan tindakan Zahid yang tidak mempunyai hala tuju dan sekali lagi menegaskan menolak sebarang bentuk kerjasama dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pun DAP.
“Kita (UMNO) ini hendak pergi ke mana? Suruh keluar dari kerajaan tetapi tidak bagi tahu hendak pergi ke mana.
“Kita ada 38 kerusi Parlimen sahaja, kalau hendak bentuk kerajaan kena ada 110, lagi 90 kerusi hendak ambil dari mana. Saya tak mahu sokong Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP,” katanya dipetik Bernama.
Ujarnya, UMNO sudah mendapat layanan yang baik bersama dalam kerajaan PN dan tidak boleh terlalu tamak untuk membolot semua jawatan.
“Dengan 38 kerusi, UMNO dapat timbalan perdana menteri, menteri kanan, 19 menteri dan timbalan menteri. Kita dapat lebih daripada apa yang layak, kita pembangkang dulu, jadi tak boleh tamak,” katanya lagi.
Annuar berkata adalah tidak wajar jika menteri-menteri parti itu menarik diri daripada tanggungjawab yang besar dalam membantu rakyat menghadapi pandemik Covid-19 yang masih merunsingkan.
Sebagai contoh, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba bertanggunjawab dalam soal kesihatan dan Menteri Kanan Luar Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang menjaga soal keselamatan dan Covid-19 secara keseluruhannya.
“Katakanlah Khairy Jamaluddin Abu Bakar (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi) yang menjaga Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) tengah sibuk dengan vaksinasi. Tiba-tiba keluar kerajaan. Macam itu ke tanggungjawab kita?” katanya sambil mempersoalkan sikap segelintir pemimpin UMNO yang tidak bersyukur dengan kepercayaan dan tanggungjawab yang diberikan oleh kerajaan PN kepada parti tersebut.
“”Saya tidak mahu anak cucu saya menyumpah esok, katakan sesuatu terjadi pada negara dengan perbuatan kita, tiba-tiba orang kata ini berlaku kerana UMNO lari daripada tanggungjawab. Tak boleh,” katanya.
Mengimbas kembali penubuhan PN, beliau berkata Barisan Nasional berikrar menyokong kerajaan PN tanpa menjadi ahlinya dan yang lebih unik ialah UMNO membuat ketetapan sokongan itu berdasarkan sokongan Ahli-Ahli Parlimennya.
“Sebab itu waktu menyokong kerajaan ini, ia tidak dibawa ke Majlis Tetinggi UMNO. Ia dibuat daripada Ahli-Ahli Parlimen UMNO yang bertemu, menandatangani akuan bersumpah (SD) dan sokongan atas Ahli-Ahli Parlimen itu sendiri. Ini sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam negara kita,” katanya.
Annuar berkata sewaktu membentuk kerajaan PN, ia untuk menyelamatkan negara daripada kegagalan kerajaan yang terdahulu setelah berlaku pepecahan disebabkan krisis dalaman disusuli dengan perletakan jawatan perdana menteri dan wujud ketidakstabilan politik negara.
“Untuk menyelamatkan keadaan dan memastikan negara dapat diuruskan dengan cara yang lebih teratur dan baik, maka berlaku satu gabungan politik dan ditakdirkan Allah SWT, gabungan ini belum pernah disaksikan dalam sejarah negara di mana parti-parti yang telah pecah seperti Bersatu, UMNO , PAS dan parti politik lain membentuk kerajaan tetapi dengan majoriti yang teramat tipis,” katanya.
Kontroversi kedudukan UMNO dalam PN timbul kembali apabila Zahid mengumumkan pendirian Majlis Tertinggi UMNO untuk menarik balik sokongan terhadap kerajaan PN dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Selasa lepas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan