Rabu, 25 Ogos 2021

Makcik Fatimah fasih berbahasa Tamil, Kantonis

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Pemilik gerai burger, Fatimah Mat Kasar baru-baru ini menjadi perhatian apabila rakaman video di Tik Tok memaparkan dia fasih berbual dengan jiran-jirannya dalam bahasa Tamil dan Kantonis.

Dalam penampilan pertamanya di TikTok, Fatimah, dari Ipoh, dilihat berbual dengan jirannya dalam bahasa Tamil mengatakan dia dalam perjalanan ke Batu Gajah.

Video itu mendapat lebih satu juta tontonan.

Fatimah, 54, memberitahu The Malay Mail yang dia mempunyai ramai kawan India ketika dibesarkan di sebuah kawasan kejiranan India di Buntong, Ipoh.

Sebagai salah seorang Melayu yang tinggal di kawasan itu, dia belajar bahasa Tamil dengan bantuan rakan dan jirannya yang sering memperbetulkan sebutannya.

Dalam satu lagi rakaman video, dia dilihat berbahasa Kantonis dengan jirannya yang lain.

Fatimah memberitahu The Malay Mail  dia belajar bahasa Kantonis daripada seorang kawan lama.

Rakannya itu katanya sukar berbahasa Melayu, oleh itu Fatimah membantunya menguasai bahasa itu sebagai balasan belajar Kantonis.

"Saya bekerja sebagai sales girl ketika berumur lewat 20-an dan perlu mendekati ramai pelanggan supaya kemahiran berbahasa saya bertambah baik.

"Namun, bahasa Kantonis saya masih tidak fasih, dibandingkan dengan bahasa Tamil," katanya.

Fatimah berkata dia banyak membantu kaum bukan Melayu mengisi borang dalam bahasa Melayu di pejabat kerajaan.

“Semalam, saya membantu seorang makcik mengisi borang dalam bahasa Melayu sebelum dia mendapat dos pertama vaksin Covid-19.

“Pada masa lain, ketika saya melihat orang-orang tuamenghadapi masalah menulis dalam bahasa Melayu, saya akan membantu mereka dengan bercakap dengan mereka dalam bahasa Tamil.

"Kebanyakan mereka akan terkejut apabila saya memulakan perbualan dalam bahasa Tamil," katanya.

Fatimah berkata dia juga menggalakkan anak-anaknya belajar bahasa Tamil dan Kantonis agar mereka dapat berkawan dan belajar daripada orang-orang di sekeliing.

Tiada ulasan: