Sabtu, 21 Ogos 2021

Kumpulan mahasiswa zahir penghargaan kepada Muhyiddin


Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK).

Jasa dan keprihatinan mantan Perdana Menteri (PM) Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap nasib mahasiswa sentiasa akan dikenang dan tidak dilupakan, kata Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK).

Kumpulan tersebut berterima kasih kepada Muhyiddin yang sebelum ini sudi untuk bertemu bagi mendengar keluh kesah mahasiswa yang juga terkesan kerana krisis kesihatan Covid-19 dan mengharapkan segala usaha yang sudah dirancang sebelum ini dapat dilaksanakan.

“Barisan kepimpinan MPPK ingin menzahirkan jutaan terima kasih kepada kerajaan yang diketuai YAB Tan Sri terhadap rakyat terutamanya kebajikan rakyat mahasiswa.

“Ketika pertemuan wakil MPPK bersama YAB Tan Sri, 11 Agenda MPPK 2020 telah dibentangkan dihadapan YAB Perdana Menteri yang merangkumi kebajikan mahasiswa khususnya.

“YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, menyambut baik segala usaha dan agenda yang telah di bawa oleh barisan kepimpinan MPPK dan akan diketengahkan kepada kementerian atau pihak bertanggungjawab untuk tindakan lanjut. Hasil usaha ini pastinya akan membawa sinar harapan kepada 1.3 juta mahasiswa di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

MPPK juga berkata pentadbiran Muhyiddin banyak meninggalkan jasa dan bakti kepada semua rakyat segenap lapisan.

“Pastinya, disepanjang perkhidmatan YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin telah meninggalkan pelbagai jasa dan bakti kepada seluruh rakyat di negara kita secara ammnya.

“Sekali lagi kami di barisan MPPK merakamkan jutaan terima kasih kepada YAB Tan Sri atas segala bakti yang diberikan. Semoga YA B Tan Sri terus diberikan kekuatan dan ketabahan dalam setiap perkara yang diperjuangkan,” ujarnya lagi.

Pada 16 Ogos, Muhyiddin menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai PM dan jawatan seluruh Jemaah Menteri dengan serta-merta.

Terdahulu, Istana Negara dalam satu kenyataan mengumumkan pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai PM baharu menggantikan Muhyiddin.

Tiada ulasan: