Ahad, 8 Ogos 2021

‘Ketika harapan punah, berlaku keajaiban sebab doa, Yassin, solat hajat’

 Oleh MOHD. HAIKAL ISA

TERKINI sehingga pukul 6 petang Sabtu, paras oksigen dalam badan Siti Sarah ialah 85. Satu perkembangan yang Shuib anggap luar biasa.

PETALING JAYA – Pelawak Shuib percaya, doa-doa, bacaan Yassin dan solat hajat tidak henti-henti daripada semua orang, sama ada dikenali atau tidak telah menjadi antara asbab berlakunya keajaiban Tuhan terhadap perubahan kondisi kesihatan isterinya, Siti Sarah yang sedang kritikal dalam Unit Rawatan Rapi (ICU), Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Akui Shuib, ketika segala harapannya seperti sudah punah, Allah menunjukkan jalan keluar buat hatinya yang sedan g runsing melihat realiti memikirkan Siti Sarah yang tidak stabil selepas pembedahan mengeluarkan bayi dalam kandungan, petang Jumaat.

“Sekitar pukul 7.45 malam, Sarah punya oksiden turun sampai 69, masa tu saya rasa macam hilang nyawa, kemudian pada pukul 11.10 minit malam, doktor telefon memberitahu keadaan Sarah sangat kritikal, oksigen dah turun sampai 40, lagilah saya tak tahu nak fikir dan buat apa. Tetapi betullah apabila Allah beri rahmat-Nya kepada hamba yang memerlukan, dengan doa, Yassin dan solat hajat semua, berlaku keajaiban pada pada pukul 2 pagi apabila paras oksigen Sarah naik kepada 77. Dan, pukul 8 pagi, oksigen pergi ke paras 80 dan paling terkini setakat pukul 6 petang tadi, oksigen dah pergi 85.

“Satu perkembangan yang sangat luar biasa. Keajaiban daripada Allah sebab berkat doa orang ramai termasuk yang membacakan yassin dan melakukan solat hajat untuk kesembuhan Sarah. Satu per satu, Allah permudahahkan urusan,” kata sebelum memulakan sesi bacaan Yassin buat Siti Sarah sebentar tadi (Sabtu malam).

Bagaimanapun, Shuib atau nama lengkapnya, Shahmira Muhamad, 37, turut memaklumkan bahawa isterinya harus terus berjuang kerana virus Covid-19 sangat jahat dan pada bila-bila masa, paras oksigen mungkin boleh berubah.

“Cuma doktor beritahu, Covid-19 ini dia punya jahat apabila pergi paru-paru, ia bersifat dinamik. Boleh tinggi (oksigen), dan boleh juga turun serendah-rendahnya.

“Saya berharap Sarah boleh kekalkan perkembangan baik sekarang atau terus tinggi paras oksigennya. Dan, saya harap oksigen tak turun lagi,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas tentang keadaan terkini cahaya matanya, Ayash Arfan, Shuib berkata, semuanya berada dalam kondisi yang semakin baik.

“Baby dah bernafas dengan baik, dah boleh terima oksigen melalui tiup ke paru-parunya.

“Kaki dah boleh menendang dan tangan dah boleh bergerak dan menggenggam. Cuma buat masa sekarang, dia belum menangis dan mengeluarkan suara. Insya-Allah doakan yang baik-baik,” ujarnya. – K! ONLINE

Tiada ulasan: