Selasa, 24 Ogos 2021

Kes sembuh Covid-19 atasi kes harian

 Oleh SITI A'ISYAH SUKAIMI

Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Kes sembuh Covid-19 melebihi paras kes harian dengan 19,053 direkodkan hari ini menjadikan keseluruhan kes pulih berjumlah 1,297,723 dengan pesakit yang sedang dirawat dan diasingkan juga berkurangan kepada 260,700 kes termasuk 1,040 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi dan 502 kes.

Terdapat 174 kes kematian melibatkan 158 warga Malaysia dan 16 warga asing dengan 21 kes meninggal dunia di luar hospital menjadikan jumlah kes kematian sebanyak 14,342 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 14,337 kes (81.13 peratus) daripada jumlah kes hari ini tiada atau tidak lengkap vaksinasi.

Beliau berkata, sebanyak 436 kes (2.5 peratus) adalah kategori tiga, empat dan lima manakala sebanyak 17,236 kes (97.5 peratus) kategori satu dan dua berdasarkan keadaan klinikal kes semasa baharu didiagnosis Covid-19.

Menurutnya, sebanyak 138 kes kategori lima dengan 121 daripadanya tiada atau tidak lengkap vaksinasi manakala 108 kes kategori empat dengan 96 kes tiada atau tidak lengkap vaksinasi.

“Bagi kes kategori tiga, sebanyak 190 dengan 161 kes tiada atau tidak lengkap vaksinasi manakala kategori dua, sebanyak 9,005 kes dengan 7,487 kes tiada atau tidak lengkap vaksinasi dan kategori satu, 8,231 kes dengan 6,472 kes tiada atau tidak lengkap vaksinasi,” katanya.

Noor Hisham berkata, sebanyak 30 kluster baharu dikenal pasti terdiri daripada 18 kluster tempat kerja, 10 kluster komuniti serta dua kluster kumpulan berisiko tinggi. – K! ONLINE

Tiada ulasan: