Rabu, 11 Ogos 2021

Kertas siasatan pelawak dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya esok

 Oleh NOR AINNA HAMZAH

KUALA PILAH: Kertas siasatan berhubung kes pemerdagangan manusia yang dipercayai membabitkan seorang pelawak lelaki bakal dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya esok.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd Ghani berkata, kertas siasatan berkenaan hampir lengkap dan disiasat di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang serta Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

“Kertas siasatan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Utusan Malaysia pada 3 Ogos lalu melaporkan seorang pelawak berusia 40-an ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan pemerdagangan manusia bagi tujuan eksploitasi seks di sebuah hotel di Kuala Pilah dalam serbuan Op Pintas.

Dalam operasi berkenaan, polis turut menyelamatkan seorang wanita berketurunan Melanau di sebuah bilik hotel di daerah yang sama dan kini wanita berkenaan mendapat perintah perlindungan sementara serta ditempatkan di sebuah rumah perlindungan di Johor

Kes disiasat di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Sabtu lepas, seorang lagi lelaki berusia 30-an telah ditahan di hadapan sebuah kediaman di Air Itam, Pulau Pinang  bagi membantu siasatan berhubung kes yang sama. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: