Jumaat, 6 Ogos 2021

Keputusan 31 ahli Parlimen BN guna kewarasan demi rakyat – Peja

MGF06082021_FAIZAL-LAWAT-PPV-IDCC02
Penasihat Khas kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (tengah) hadir bagi mengadakan lawatan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) IDCC Shah Alam, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL

SHAH ALAM – Tindakan sekumpulan 31 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membuktikan mereka mengutamakan kepentingan rakyat berbanding kemahuan parti sendiri.

Penasihat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, perkembangan baharu itu menunjukkan politik Malaysia semakin dinamik.

“Alhamdulillah, saya ingin melahirkan rasa syukur kepada Allah kerana kita dapati politik hari ini dinamik.

“Walaupun ada keputusan daripada parti mungkin bukan datang daripada semua ahli (tapi) datang daripada segelintir pemimpin (UMNO).

“Ia menyebabkan ahli-ahli Parlimen bertindak menggunakan kewarasan masing-masing, meletakkan kepentingan rakyat lebih utama daripada politik dan kemahuan parti dengan menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri,” katanya kepada pemberita hari ini.

Sebelum itu, Ahmad Faizal melakukan lawatan kerja hampir setengah jam di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC).

Terdahulu seramai 31 Ahli-ahli Parlimen BN menyatakan pendirian untuk terus menyokong kerajaan PN dan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaako, daripada jumlah itu, 21 pemimpin itu menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong bahawa Kerajaan PN harus diteruskan sehingga satu usul undi percaya terhadap Perdana Menteri dibuat pada September ini.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata, meskipun beliau mengakui Kerajaan Perikatan Nasional (PN) bukan sempurna, namun kerjasama semua pihak diperlukan untuk memerangi pandemik Covid-19.

“Bukan kerana kerajaan ini terlalu sempurna, tetapi kita berpandangan kita mesti bekerjasama dengan rapat pastikan kepentingan rakyat diutamakan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: