Sabtu, 7 Ogos 2021

Kelonggaran kepada penerima dua dos vaksin perlu bersyarat: KKM


Sidang media khas Kementerian Kesihatan hari ini berkaitan peningkatan kes Covid-19 di seluruh negara.

Kementerian Kesihatan (KKM) mencadangkan kerajaan agar menjadikan beberapa prasyarat sebelum kelonggaran diberikan kepada individu yang telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19.

Antara ialah kadar vaksinasi yang diterima oleh rakyat perlulah tinggi supaya tidak berlaku peningkatan kes baharu secara mendadak, selain memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi sepenuhnya.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal), Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim berkata jika prasyarat itu dapat dilaksanakan baharulah beberapa kelebihan bagi individu yag telah melengkapkan dua dos boleh diberikan.

“Kadar pematuhan prosedur operasi standard (SOP) tertentu perlu dilaksana juga kerana varian yang sedia ada lebih mudah disebarkan dan lebih berjangkit.Jadi kita perlu laksana pemakaian pelitup muka, utamakan penjarakan fizikal dan sebagainya dan tidak berkumpul dalam satu kumpulan yang ramai.

“Bila prasyarat yang kita katakan ini telah dapat dilaksanakan, saya rasa akan dibuat pengumuman apakah jenis-jenis kelebihan yang diberi untuk mereka yang telah melaksana dua dos vaksinasi,” katanya pada sidang media khas KKM hari ini.

Dr Hishamshah berkata KKM masih membincang mengenai apakah bentuk kelebihan yang boleh diberikan kepada individu yang telah menerima dua dos vaksinasi.

Beliau berkata pelaksanaan kelonggaran kepada penerima lengkap vaksinasi tidak perlu dibuat secara terburu-buru dan kerajaan bersama KKM perlu mengambil pendekatan yang berhati-hati.

Katanya, Malaysia perlu mengambil iktibar daripada pengalaman negara-negara yang memberikan kelebihan kepada individu lengkap vaksinasi.

“Mereka beri kelebihan kepada individu yang dah melaksanakan dua vaksinasi ini tetapi bila mereka lihat kembali keputusan itu, mereka rasa kebenaran kelebihan ini diberikan terlampau awal.

“Disebabkan oleh beri kelebihan terlampau awal, mereka biarkan aktiviti sosial terlampau bebas dan sebagainya, mereka melihat peningkatan kes,” katanya.

Tiada ulasan: