Isnin, 23 Ogos 2021

Kabinet diumum minggu ini, tiada wakil pembangkang, kata Ismail

FMT Reporters

 
Ismail Sabri Yaakob berkata perbincangan mengenai pembentukan Kabinet 
sedang dilakukan sebelum senarai penuh dipersembahkan kepada Sultan 
Abdullah Sultan Ahmad Shah.

PETALING JAYA: Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata anggota Kabinet akan diumumkan minggu ini selepas dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Beliau berkata, perbincangan mengenai pembentukan Kabinet sedang dilakukan sebelum senarai penuh dipersembahkan kepada Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Ismail turut memaklumkan Ahli Parlimen pembangkang tidak akan dilantik ke dalam Kabinet yang bakal diumumkan minggu ini.

Bagaimanapun, katanya mereka akan dibabitkan dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19, menurut laporan Berita Harian.

Terdahulu, FMT melaporkan kalangan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dikatakan “resah” dengan tindakan Ismail meminta mesyuarat MKT malam ini ditangguhkan sekali lagi dan bimbang beliau akan mengikut telunjuk Bersatu dalam menamakan barisan Kabinetnya.

Sumber dalaman Umno berkata, Ismail dikatakan mahu mesyuarat MKT ditangguhkan pada Khamis, iaitu sehari selepas beliau dijangka mengumumkan Jemaah Menteri pentadbirannya.

Menurut beliau, sebelum ini Ismail yang juga naib presiden Umno meminta mesyuarat MKT dijadualkan Sabtu lalu turut ditangguhkan.

Menurut sumber itu, kalangan MKT “amat bimbang” Ismail akan mengikut kehendak Bersatu dengan menamakan Azmin Ali sebagai timbalan perdana menteri.

“Kebimbangan besar Umno ialah Azmin disebut-sebut calon yang dipersetujui oleh Bersatu sebagai timbalan perdana menteri,” kata sumber itu.

Beliau berkata, kalangan MKT tidak akan bersetuju jika Ismail memilih Azmin, sebaliknya mahu jawatan nombor dua itu dikosongkan seperti mana dibuat oleh Muhyiddin Yassin apabila beliau membentuk kerajaan tahun lalu.

Tiada ulasan: