JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) menawarkan pengurangan pembayaran saman sehingga 70 peratus kepada semua saman yang boleh dikompaun.
Bagaimanapun, pengurangan itu tidak termasuk kes yang masih dalam sebutan mahkamah dan yang berstatus waran tangkap atau perbicaraan.
JPJ dalam kenyataan memberitahu, pengurangan kompaun sehingga 70 peratus itu mulai esok - RABU - sehingga 16 September depan diberikan kepada semua notis saman yang telah dikeluarkan.
Katanya, ia melibatkan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Akta 334) serta kaedah-kaedah dan perintah-perintah di bawahnya.
Menurut JPJ, kompaun itu juga termasuk kes yang masih dalam tindakan senarai hitam.
“Pengurangan ke atas notis saman tersebut adalah berdasarkan kepada kadar kompaun semasa yang terdapat dalam sistem mySIKAP JPJ.
“Tawaran ini turut diberikan kepada semua saman yang masih aktif dan tempoh kompaunnya masih berkuat kuasa dengan syarat pembayaran dilakukan dalam tempoh yang dinyatakan iaitu sehingga 16 September 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, JPJ memaklumkan, urusan pembayaran notis saman itu boleh dibuat di semua pejabat JPJ negeri, cawangan dan UTC, kiosk atau secara dalam talian melalui portal mySIKAP JPJ.
Walau bagaimanapun, JPJ memberitahu, pesalah-pesalah lalu lintas yang telah disenarai hitam dikehendaki hadir semula ke pejabat JPJ bagi tujuan proses dokumentasi semula sebelum sebarang urusan pembayaran dapat dilakukan.
“Sesungguhnya, tawaran pengurangan notis saman ini dibuat semata-mata bagi tujuan meringankan beban rakyat, selaras dengan kemelut ekonomi yang melanda segenap lapisan masyarakat di negara ekoran pandemik COVID-19,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan