Isnin, 9 Ogos 2021

Individu dos lengkap perlu patuhi kriteria ditetapkan, kata PM

AGENDA DAILY

Kelonggaran yang diberikan kepada penerima dos lengkap berbeza-beza kriteria mengikut jenis vaksin yang diterima orang ramai.

Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan individu dos lengkap vaksinasi perlu memenuhi kriteria yang ditetapkan sebelum dapat menikmati kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan, orang ramai perlu melepasi tempoh matang selepas disuntik vaksin.

Perdana Menteri berkata kriteria tersebut berbeza mengikut jenis vaksin yang diterima orang ramai, bagi vaksin jenis Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac, ia mestilah melepasi tempoh 14 hari dan bagi vaksin jenis Johnson & Johnson dan CanSino pula selama 28 hari selepas disuntik.

“Bagi jenis vaksin yang memerlukan dua dos suntikan (Pfizer, AstraZeneca, dan Sinovac), individu berkenaan mestilah telah melepasi hari ke-14 dari tarikh suntikan dos kedua; dan

“Bagi jenis vaksin yang hanya memerlukan satu dos suntikan (Johnson & Johnson dan CanSino), individu berkenaan mestilah telah melepasi hari ke-28 dari tarikh suntikan,” kata Muhyiddin semasa pengumuman khas kelonggaran kepada individu menerima dos lengkap hari ini.

Menurut Muhyiddin, kriteria-kriteria tersebut adalah mengikut garis panduan yang sudah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan orang ramai dinasihati mematuhi kriteria tersebut dapat menikmat kelonggaran yang diberikan kerajaan.

“Mengambil kira maklumbalas pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ini, Kerajaan bersedia memberikan kemudahan kepada individu-individu yang telah menerima vaksinasi lengkap.

“Keputusan ini dibuat dengan sangat berhati-hati dan ia adalah selaras dengan data yang dikumpul di dalam negara tentang keberkesanan vaksinasi lengkap serta prinsip sains dan kesihatan awam yang digunapakai di seluruh dunia,” katanya.

Ujarnya, kerajaan optimis sasaran yang ditetapkan sekurang-kurangnya 50 peratus vaksinasi lengkap penduduk dewasa dapat dicapai.

“Semalam, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) YB Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut mengumumkan sasaran kerajaan pada hujung bulan ini ataupun sasaran Hari Kebangsaan 2021 ialah mencapai 50 peratus kadar vaksinasi lengkap penduduk dewasa di Malaysia,” ujarnya lagi.

Tiada ulasan: