Isnin, 9 Ogos 2021

Guru PASTI meninggal dunia akibat Covid-19

 Oleh SARINA ISMAIL

PADANG SERAI: Dewan Pemuda PAS Padang Serai merakamkan ucapan takziah di atas pemergian salah seorang tenaga pengajar PASTI Islahiah, Kilang Lama, Normarinah Ayub.

Allahyarham Normarina menghembus nafas terakhir  kira-kira jam 10.45 malam, semalam di Hospital Kulim setelah dirawat di wad ICU akibat positif Covid-19.

Ketua dewan berkenaan Ustaz Nasrun Othman berkata, pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar kepada institusi pra-sekolah berkenaan khususnya PASTI kawasan terbabit.

“Beliau antara guru yang aktif dan komited dengan tugasan. Di samping itu turut bergiat aktif bersama Dewan Muslimat Padang Serai,” maklum beliau.

Normarinah melibatkan dirinya sebagai pendidik kepada kanak-kanak empat hingga enam tahun lebih daripada 20 tahun.

Beliau meninggalkan enam anak dan seorang anak angkat yang dijaganya sejak kecil.

“Seluruh warga PASTI Padang Serai amat merasa kehilangannya. Semoga Allah mengampunkan segala dosa dan menempatkannya bersama para solihin.

“Kami juga mendoakan agar seluruh ahli keluarga almarhumah dapat bersabar atas ujian ini,” tambahnya lagi.

Justeru itu, Dewan Pemuda PAS Padang Serai mengalu-alu sumbangan orang ramai untuk meringankan bebanan keluarga almarhumah memandangkan suaminya juga merupakan petugas PAS dan PASTI sepenuh masa.

Oleh itu sumbangan boleh disalur melalui nombor akaun 02057010023068 (BIMB) atas nama Jabatan PASTI Kawasan Padang Serai.

Untuk keterangan lanjut boleh menghubungi  Setiausaha PASTI, Afizal di talian 017-434 8867 atau Bendahari, Rezuwan,  012-551 0175. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: