KUALA LUMPUR – Ratu rock tanah air, Ella hari ini meluahkan rasa sedihnya selepas mengetahui berita pemergiaan rakannya, Siti Sarah.
Katanya, perasaan sedih menghimpitnya apatah lagi kerana tidak sempat menyarungkan tudung pemberian isteri pelawak, Shuib itu.
Ella turut mengucapkan takziah kepada Shuib sekeluarga di atas pemergiaan Siti Sarah awal pagi tadi.
“Duhai almarhumah Siti Sarah Raissudin. Selamat jalan ke negeri abadi. Moga Allah siapkan tempat khusus buatmu atas segala pengorbanan dan amal baik yang telah dilakukan.
“Sayu hati melihat hadiah tudung cantik Loveta hadiah pemberianmu yang belum sempat Ella sarungkan. Selesai solat jenazah dan tahlil dari kejauhan pagi ini buatmu dari kami sekeluarga. Ramai yang sayangkan mu Sarah. Takziah Shuib Sepahtu , bersangka baik dan bertabahlah . #peaceloverindu,” tulisnya menerusi Facebook.
Selain itu turut mengucapkan takziah kepada keluarga allahyarhamah, penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza, Mizz Nina, Nabila Huda dan ramai lagi.
Mizz Nina menerusi Instagramnya berkata, Siti Sarah merupakan artis yang dikenalinya seawal tahun 2000 ketika baru bergiat dalam industri seni.
Ujarnya, penyanyi lagu Kesetiaan itu merupakan selebriti yang rendah diri, baik dan periang.
“Saya mengenali @sitisarahraissuddin awal tahun 2000 kami sama-sama baru masuk industri ini. Saya selalu mengingatinya sebagai seorang yang rendah diri, baik, periang dan dia memilih berhijrah, beliau merupakan saudara dan ibu yang solehah.
“Berita pemergiannya pagi ini mengejutkan kita dan ini harus menjadi peringatan bagi kita semua untuk bersiap sedia.Kehidupan ini hanyalah persinggahan, sebelum kita menuju ke kehidupan yang kekal di Akhira,” tulisnya.
Beliau mendoakan Allah mencucuri rahmat kepada Allahyarhamah.
“Semoga Siti Sarah termasuk di antara orang-orang yang mati syahid, orang-orang yang beriman, orang-orang yang solehah di Taman Syurga. Semoga Allah mengurniakan rahmat-Nya dan kesabaran yang indah untuk keluarga dan orang yang anda sayangi, Semoga kalian akan bersama-sama kelak di tempat yang jauh lebih indah dan sempurna dari kehidupan yang tidak sempurna ini, di mana kebahagiaan sejati akan kekal selama-lamanya.Ameen,” tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan