Selasa, 3 Ogos 2021

Covid-19 tinggi di Selangor, Mat Sabu anjur pertandingan menyanyi dalam Page FB


Pertandingan Menyanyi Lagu Tamat Darurat.

Ketika rakyat berdepan tekanan ekoran krisis pandemik Covid-19, Presiden Amanah Mohamad Sabu atau Mat Sabu nampaknya mempunyai idea luar kotak dengan menganjurkan pertandingan menyanyi dalam laman rasmi Facebooknya.

Pertandingan Menyanyi Lagu Tamat Darurat itu menampilkan pengacara program yang terkenal dengan jeritannya di Parlimen, Khalid Samad yang juga Ahli Parlimen Shah Alam.

Pertandingan tersebut dianjurkan oleh Jawatankuasa Rayuan Penamatan Proklamasi Darurat, gerakan pembangkang yang menuntut dibatalkan segera tempoh Darurat yang sudah berakhir pada 1 Ogos.

Para peserta perlu menyanyikan dua buah lagu yang disediakan penganjur berjudul ‘Hentikan Darurat’ dan ‘Hentikanlah’, ia kemudiaan akan diadili oleh seorang juri.

Para penyanyi tersebut diadili oleh seorang juri bernama Othman Mohamed yang tidak diketahui latar belakangnya sama ada pernah menjadi artis atau komposer, ia tidak dapat disahkan.

Dalam video berdurasi 23 minit tersebut, Khalid berkata pihak penganjur menerima sebanyak 22 penyertaan dan tiga daripadanya ditolak kerana tidak cukup syarat yang ditetapkan oleh para juri pertandingan tersebut.

Juara pertandingan tersebut dimenangi oleh seorang individu bernama Nur Aiman Ridwan Norazmi.

Bagaimanapun di ruang komen dalam Facebook, warganet mengkritik penganjuran program tersebut yang disifatkan tidak mencerminkan tahap pemikiran seorang pemimpin negara yang diharapkan dapat menguruskan urus tadbir negara.

“Ape ke bangang buat pertandingan nyanyi. Bagi la idea mcm mana nak survive nak setelkan masalah covid ni, .. ni je level YB. Sedih la,” kata seorang pemilik akaun FB, Muhammad Sukri dalam laman FB Mohamad Sabu.

Sementara itu seorang lagi individu bernama Mohd Faizal Samsudin menulis di ruang komen berkata “Buat la benda yg berfaedah sikit YB.. malu lah ckit kat org yg undi YB.”

Majoriti warganet menghentam dan membidas penganjuran tersebut, sepatutnya Mat Sabu dan Khalid mencari jalan dalam membantu mengurangkan jumlah jangkitan Covid-19 khususnya di negeri Selangor.

Untuk rekod, Selangor merupakan penyumbang tertinggi setiap hari kepada jumlah kumulatif keseluruhan jangkitan Covid-19 kepada negara.

Rata-rata kesal dengan tindakan kedua-dua Ahli Parlimen dari Selangor itu yang dianggap tidak sensitif pada ketika rakyat Selangor semakin terhimpit dengan kehidupan akibat krisis pandemik yang melanda negara.

LIHAT VIDEO DI SINI

Tiada ulasan: