Isnin, 2 Ogos 2021

Arahan kuarantin kendiri dibuat menerusi MySejahtera


Perintah Pengawasan dan Pemerhatian dan Pelepasan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian akan dimuat naik ke dalam aplikasi MySejahtera.

Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Kementerian Kesihatan (KKM) akan memuat naik Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (HSO) dan Pelepasan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian, ke dalam aplikasi MySejahtera.

Sehubungan itu, individu yang menerima kedua-dua perintah berkenaan menerusi MySejahtera diminta mematuhinya bagi mengelak dikenakan tindakan.

“Anda diwajibkan untuk kuarantin apabila mendapat Perintah Pengawasan dan Pemerhatian melalui aplikasi MySejahtera.

“Kegagalan anda untuk mematuhi perintah ini merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 11(5) Akta 342 dan sekiranya disabitkan dengan kesalahan boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 24 Akta 342,” kata CPRC dalam kenyataan hari ini.

CPRC juga berkata Pelepasan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian juga akan dimaklumkan menerusi MySejahtera selepas tamat tempoh kuarantin 14 hari.

HSO akan diberikan kepada individu yang mempunyai gejala ringan dan tidak memenuhi kriteria bagi kemasukan ke wad iaitu pesakit di bawah siasatan (PUI).

Perintah itu juga akan diberikan kepada individu yang tidak mempunyai gejala, namun mempunyai sejarah perkaitan epidemiologi seperti kontak rapat kepada kes yang dijangkiti Covid-19 yang dikategorikan sebagai individu di bawah pemantauan (PUS).

Sebelum ini mana-mana individu yang dikenal pasti bagi kedua-duanya – PUI dan PUS – akan dipakaikan gelang merah jambu bagi menandakan mereka diletakkan di bawah kuarantin kendiri.

Bagaimanapun, individu yang pernah berhubung dengan kes positif, namun tidak tidak dikenal pasti sebagai kontak rapat tidak akan diberikan HSO atau pemakaian gelang.

Tetapi, mereka dinasihatkan untuk menjalani kuarantin kendiri dan memantau status kesihatan masing-masing sepanjang tempoh 14 hari serta mengamalkan nasihat kesihatan yang telah dikeluarkan oleh KKM.

Tiada ulasan: