Rabu, 18 Ogos 2021

Anwar terima writ saman tuduhan serangan seksual dari bekas staf

 MALAYSIA NOW

Pengurusan kes ditetapkan pada 9 September depan.

Writ saman serangan seksual oleh bekas kakitangan Anwar Ibrahim sudah diserahkan kepada pemimpin PKR itu selepas beberapa kali percubaan untuk penyerahannya gagal sejak difailkan kira-kira sebulan lalu.

Mahajoth Singh, peguam mewakili Muhammed Yusoff Rawther mengesahkan writ saman tersebut dan keterangan pendakwaan sudah diserahkan kepada peguam-peguam Anwar.

Mahajoth turut mengesahkan pengurusan kes tersebut akan ditentukan pada 9 Spetember depan.

Sebelum ini, difahamkan beberapa percubaan dilakukan untuk menyerahkan saman tersebut.

Namun akhirnya, peguam Anwar bersetuju menetapkan tarikh janji temu bagi penyerahan saman itu dibuat hari ini.

Dalam kenyataan pendakwaan, Yusoff, 28, berkata dia mengalami trauma dan gangguan terhadap fizikal, psikologi dan sosial akibat serangan seksual yang didakwa telah dilakukan seorang ahli politik di rumahnya sebelum ini di Bukit Segambut, Kuala Lumpur.

Yusoff menyenaraikan lebih sepuluh perlakuan dan ungkapan tidak senonoh oleh Anwar, dan kini sedang berusaha di mahkamah supaya ia mengisytiharkan ketua pembangkang itu telah melakukan serangan seksual selain ganti rugi am, setimpal dan terkumpul termasuk kos sesi terapi yang dijalaninya.

Tiada ulasan: