Khamis, 5 Ogos 2021

Ada yang desak saya bebaskan mereka daripada kes mahkamah: PM


Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan pihak yang mencetuskan polemik politik dalam negara sekarang ini kecewa dan tidak senang dengan ketegasan beliau tidak membantu membebaskan individu tertentu yang didakwa atas kesalahan jenayah di mahkamah.

“Saya tahu bahawa mereka kurang senang dengan ketegasan saya untuk tidak melayan beberapa tuntutan mereka.

“Ini termasuk desakan supaya saya mencampuri urusan mahkamah untuk membebaskan beberapa individu yang sedang didakwa atas kesalahan jenayah,” kata Perdana Menteri pada perutusan khas hari ini.

Perdana Menteri berkata beliau juga dituduh menderhaka kepada Raja sedangkan apa yang dilakukannya adalah semata-mata untuk memelihara keluhuran Perlembagaan dan mempertahankan kemuliaan institusi Raja Berperlembagaan.

“Saya tidak akan mengorbankan prinsip saya dan membelakangi sumpah jawatan saya untuk menunaikan segala kewajipan dengan jujur,
menumpahkan taat setia kepada Raja dan Negara serta memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan,” katanya.

Muhyiddin juga berkata Jemaah Menteri dan jentera pentadbiran kerajaan akan terus berfungsi untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat dan negara, khususnya dalam menangani pandemik Covid-19.

“Saya akan memastikan program vaksinasi yang sedang berjalan pada masa ini tidak akan terganggu dan terus dilaksanakan mengikut jadual.
Begitu juga bantuan-bantuan yang telah diumumkan oleh kerajaan akan dapat diterima oleh rakyat tanpa sebarang halangan.

“Saya menyeru kepada semua penjawat awam, khususnya para frontliners, agar terus tabah melaksanakan tugas dan tanggungjawab anda tanpa terganggu dengan kemelut politik yang sengaja dicetuskan oleh pihak-pihak tertentu yang cuba menangguk di air yang keruh,” katanya.

Perutusan khas itu dibuat susulan kemelut politik yang melanda negara ketika ini, setelah Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi dan sekutunya di dalam Majlis Tertinggi (MT) mengumumkan buat kali ketiga menarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Muhyiddin, semalam.

Pada sidang media hari ini, Perdana Menteri tidak menyatakan siapakah individu yang meminta beliau campur tangan dalam kes mahkamah mereka.

Bagaimanapun, untuk makluman, Zahid dan bekas Perdana Menteri Najib Razak kini berdepan puluhan pertuduhan jenayah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Shah Alam, atas tuduhan rasuah, menyeleweng, menyelahgunakan kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan berbilion-bilion ringgit wang negara, ketika Barisan Nasional (BN) memerintah sebelum 2018 lalu.

Beberapa pemimpin UMNO yang lain turut berdepan tindakan undang-undang, antaranya kerana gagal mengisytiharkan pendapatan yang diperoleh kepada Lembaha Hasil Dalam Negeri.

Tiada ulasan: