Ahad, 18 Julai 2021

Urusan jenazah Covid-19 di Selangor dipercepatkan, kata MB

Amirudin berkata, inisiatif itu membolehkan masa mengurus jenazah 
disingkatkan sebaik mungkin bagi mengurangkan kesesakan di ruang 
simpanan jenazah.

PETALING JAYA: Urusan pengurusan jenazah mangsa Covid-19 di Selangor dipercepatkan melalui inisiatif Pengurusan Jenazah Covid-19 Berpusat, kata Menteri Besar Amirudin Shari.

Beliau berkata, inisiatif itu bagi membolehkan masa mengurus jenazah disingkatkan sebaik mungkin bagi mengurangkan kesesakan di ruang simpanan jenazah di beberapa hospital di negeri ini.

Amirudin berkata, terdapat tiga hospital yang telah dikhususkan untuk menguruskan hal-ehwal berkaitan mangsa Covid-19 sama ada yang beragama Islam mahupun yang bukan Islam, iaitu Hospital Shah Alam, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Klang.

“Tanah perkuburan yang dikhususkan untuk pengurusan jenazah mangsa Covid-19 bagi yang beragama Islam adalah di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 dan Tanah Perkuburan Islam Selat Klang.

“Untuk yang bukan Islam pula, jenazah mangsa yang berkenaan akan dirujuk ke pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi tujuan pengebumian dan pengurusan krematorium yang bersesuaian,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya hari ini.

Dalam pada itu Amirudin berkata, pihaknya turut berhubung dengan Kementerian Luar bagi menyelaraskan urusan jenazah yang bukan warga negara (BWN).

Inisiatif pengurusan jenazah itu dilaksanakan susulan perbincangan pihaknya bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada Rabu lalu diikuti dengan agensi negeri serta PBT berhubung isu berkenaan.

“Adalah diharapkan dengan adanya inisiatif Pengurusan Jenazah Covid-19 Berpusat ini, masa yang diambil dalam menguruskan jenazah dapat disingkatkan sebaik mungkin bagi mengurangkan kesesakan dan limpahan jenazah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Amirudin berkata pihaknya akan menyediakan bekalan bakul makanan kepada penduduk tidak lewat 48 jam selepas perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) dikuatkuasakan di empat lokaliti di Selangor tengah malam ini.

Beliau berkata saringan Covid-19 akan dilakukan kepada semua penduduk dalam lingkungan PKPD terbabit di mana mereka yang positif akan diasingkan bagi pemantauan serta rawatan bersesuaian manakala yang negatif akan divaksin oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).

Lokaliti PKPD berkenaan berkuat kuasa jam 12 tengah malam ini hingga 31 Julai ini ialah Damai Apartment, PJS 8, Mukim Damansara, Daerah Petaling; Jalan Pandan Indah, Mukim Ampang, Daerah Hulu Langat; Jalan Batu Nilam, Bandar Bukit Tinggi, Mukim Klang, Daerah Klang dan Taman Samudera, Mukim Batu di Daerah Gombak.

Tiada ulasan: