Ahad, 18 Julai 2021

98% kes baharu tidak bergejala, bergejala ringan, kata KP Kesihatan

Jumlah saringan Covid-19 yang tinggi dilaporkan sejak dua minggu lalu dengan 
sebahagian daripadanya di Selangor dan Kuala Lumpur.

PETALING JAYA: Lebih 98% kes baharu Covid-19 yang dilaporkan hari ini tidak menunjukkan sebarang gejala atau hanya gejala ringan, menurut angka dikeluarkan Kementerian Kesihatan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 6,840 kes atau 54.6% adalah dalam Kategori 1 iaitu tidak bergejala, manakala 5,468 kes (43.6%) dalam Kategori 2 iaitu mempunyai gejala ringan.

Bagaimanapun, terdapat 220 kes jangkitan serius dilaporkan, dengan 108 memerlukan rawatan oksigen atau penggunaan ventilator.

Noor Hisham berkata, 112 kes berada di Kategori 3 (mereka yang menghidap radang paru-paru), 44 di kategori 4 (pneumonia, memerlukan oksigen) dan 64 di Kategori 5 (dalam keadaan kritikal yang memerlukan ventilator untuk bernafas).

Sebanyak 12,528 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini dengan jumlah kes baru melepasi angka 10,000 lima hari berturut-turut.

Seramai 908 pesakit lagi menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dan 425 memerlukan bantuan pernafasan.

Angka hari ini menunjukkan jumlah yang lebih tinggi daripada mereka yang tidak bergejala berbanding semalam, dengan KKM melaporkan 6,504 kes (51,9%) di Kategori 1 dan 5,848 kes (46,6%) di Kategori 2 (gejala ringan).

Seramai 86 pula di Kategori 3, 49 di Kategori 4 dan 54 di Kategori 5.

Jumlah kes baharu lebih banyak dilaporkan selepas saringan yang lebih tinggi dilakukan sejak 14 hari lalu.

Katanya, 132,935 ujian telah dilakukan pada 16 Julai dengan jumlah ujian tertinggi dilakukan di Selangor (46,681), Kuala Lumpur (16,500) dan Johor (10,611).

Tiada ulasan: