Jumaat, 16 Julai 2021

Tarikh vaksinasi walk-in warga emas belum dimuktamadkan

 Oleh NOR IDAYU BOSRO

Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Tarikh pelaksanaan vaksinasi  secara walk-in kepada warga emas di Selangor dan Kuala Lumpur masih belum dimuktamadkan dan akan dimaklumkan kelak, kata Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF).

CITF berkata, ia untuk membolehkan perancangan inisiatif itu dimuktamadkan seperti urusan logistik serta penghantaran bekalan stok vaksin di semua pusat pemberian vaksin (PPV).

“Hal ini juga penting bagi merancang susunan waktu inisiatif walk-in untuk mengelakkan kesesakan di PPV terutamanya bagi warga emas ketika jumlah kes jangkitan Covid-19 yang semakin tinggi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Justeru, CITF berkata, orang ramai berusia 60 tahun ke atas bersama pengiring masing-masing yang tidak mempunyai janji temu vaksinasi diminta untuk tidak hadir ke mana-mana PPV esok sehingga maklumat lanjut berkenaan inisiatif tersebut diumumkan dalam masa terdekat.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba mengumumkan bahawa penduduk Lembah Klang berusia 60 tahun ke atas dan masih belum lagi menerima vaksin Covid-19 dibenarkan datang secara ‘walk-in’ atau tanpa janji temu.

Beliau berkata, lokaliti berkenaan dipilih sebagai perintis sebelum inisiatif tersebut diperluaskan ke seluruh negara secara berperingkat. – K! ONLINE

Tiada ulasan: