Rabu, 14 Julai 2021

Tajuddin dipecat selepas kritik keputusan parti

 Oleh MOHD RASDAN AHMAD

Tajuddin.

PETALING JAYA – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan pemecatan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai pengarah pilihan raya parti tersebut, hari ini.

Difahamkan pemecatan tersebut dibuat selepas beberapa hari kritikannya semasa Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada Rabu lalu.

Pengumuman pemecatan tersebut dibuat menerusi satu kenyataan oleh Ahmad Zahid dan kekosongan tersebut diganti Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang berkuatkuasa serta-merta.

Jelas Zahid, keputusan tersebut akan memudahkan parti untuk membuat keputusan dalam pilihan raya nanti.

“Dengan kedudukan Mohamad Hasan sebagai Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), ia akan memudahkan proses membuat keputusan dalam soal persiapan pilihan raya yang melibatkan semua parti-parti komponen BN,” jelas Ahmad Zahid.

Terdahulu, Tajuddin dilaporkan mengutuk MT UMNO apabila berkata ‘ini sudah lain’ ketika bercakap pada mesyuarat secara maya minggu lalu merujuk kepada keputusan yang telah dibuat oleh MKT pada mesyuarat baru-baru ini.

Tajuddin mengatakan pendiriannya yang bersetuju dengan keputusan yang telah dibuat ketika Perhimpunan Agong UMNO (PAU) 2020 yang lalu.

Ucapan beliau itu tersebar menerusi satu audio yang tular di media sosial dan turut dikongsi bekas Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa dalam Twitternya, semalam. – K! ONLINE.

Tiada ulasan: