Rabu, 14 Julai 2021

Portal MyGovernment hubungkan pengguna dengan khidmat kerajaan

BH ONLINE

PUTRAJAYA: Orang ramai digalak menggunakan perkhidmatan portal 'MyGovernment' yang menghubungkan pengguna dengan pelbagai perkhidmatan dalam talian disediakan kementerian, jabatan atau agensi sektor awam.

Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) berkata, portal MyGovernment memudahkan rakyat memilih perkhidmatan diperlukan tanpa perlu hadir ke premis kerajaan, sekali gus dapat mengelak orang ramai berkumpul.

Katanya, sebanyak 28 kementerian dan 57 agensi sektor awam berkolaborasi serta menjadi rakan strategik dalam penyediaan kandungan dan integrasi perkhidmatan dalam talian untuk portal berkenaan.

"Sehingga kini, 389 perkhidmatan dalam talian kerajaan boleh dicapai dalam portal MyGovernment ini.

"Orang ramai juga boleh mengakses perkhidmatan kerajaan pada bila-bila masa dan dari mana-mana lokasi," kata kenyataan itu, hari ini.

Katanya, dengan sinergi strategik antara pelbagai jabatan kerajaan dalam merealisasikan agenda pendigitalan negara melalui pembangunan portal MyGovernment itu, insiden kesesakan di kaunter seperti di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wangsa Maju yang tular di media sosial baru-baru ini, dapat dielakkan.

Sebelum ini tular video berdurasi satu minit 13 saat memaparkan orang ramai berkumpul di JPJ Wangsa Maju, dipercayai untuk mengambil nombor giliran untuk urusan di kaunter jabatan itu.

"Kerajaan sedang giat memperluaskan perkhidmatan dalam talian secara 'End-To-End' (E2E) yang merentasi pelbagai agensi awam dan swasta bagi memudah cara interaksi rakyat, industri serta kerajaan.

"Kerajaan komited menyediakan perkhidmatan kerajaan digital fokus kepada rakyat. Senario semasa akibat wabak COVID- 19, menyebabkan norma baharu penggunaan perkhidmatan digital semakin meningkat," katanya.

Portal MyGovernment dibangunkan pada 2003, bermula dengan menyediakan maklumat berkaitan perkhidmatan kerajaan dan kemudian ditambah baik dari semasa ke semasa, sehingga menjadikan Gerbang Rasmi Perkhidmatan Dalam Talian Kerajaan Malaysia. - BERNAMA

Tiada ulasan: