TUMPAT: Terkejut dengan kehadiran pihak berkuasa, sekumpulan lelaki dipercayai penyeludup melarikan diri menaiki bot galah ke negara jiran.
Kejadian berlaku di pangkalan haram Bahaman, Pengkalan Kubor di sini, pada jam 4.30 petang semalam sebaik lokasi itu diserbu sepasukan anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7).
Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi berkata, ketika anggotanya menjalankan rondaan bersama penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sempena Op Kontraban, mereka ternampak beberapa lelaki sedang mengangkat tong dari tebing Sungai Golok ke dalam perahu.
"Ketika anggota kami menghampiri pangkalan haram itu, beberapa lelaki melarikan diri dengan menaiki perahu ke arah Thailand.
"Hasil pemeriksaan, kami menjumpai beberapa tong berisi petrol sebanyak 600 liter yang dianggarkan bernilai RM1,230," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Azhari berkata, mereka menunggu kira-kira 30 minit di tebing sungai itu namun tiada sesiapa yang tampil menuntut sebelum kesemua barangan itu dibawa ke Kompani Taktikal Kuala Jambu untuk tindakan lanjut.
"Kita percaya petrol itu mahu diseludup ke Thailand dan kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan