Khamis, 15 Julai 2021

FELDA nafi ambil tanah peneroka jika hutang lapuk dihapuskan

 azrulhakimie

Perjanjian Pelarasan Pinjaman Peneroka Secara Bersyarat bersifat adil

KUALA LUMPUR – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) menafikan dakwaan kononnya FELDA mahu mengambil alih ladang milik peneroka sekiranya mereka bersetuju menandatangani Perjanjian Pelarasan Pinjaman Peneroka Secara Bersyarat.

Pengarah Besarnya Datuk Amiruddin Abdul Satar berkata perjanjian berkenaan sebenarnya bersifat adil kepada kedua-dua pihak, yang menjanjikan 80 peratus hutang lapuk peneroka dihapuskan, dan menurutnya banyak salah faham timbul disebabkan masih ramai belum mendapat penerangan lengkap mengenainya.

“Ramai tidak dapat penerangan lagi, (menyebabkan) banyak salah faham, dan ada yang mengadu di media. Kita bukan ambil alih ladang, kita hanya ambil pengurusan ladang, itulah juga objektif dan hasrat FELDA sejak penubuhannya, untuk mengurus ladang secara berkelompok.

“Dalam tempoh seminggu ini kita banyak turun padang di beberapa negeri dan bertemu dengan peneroka untuk menerangkan mengenai perjanjian ini kerana seeloknya penerangan dilakukan secara fizikal agar mereka mendapat gambaran sebenar,” katanya dalam taklimat bersama media menerusi aplikasi Zoom hari ini.

Bagaimanapun katanya buat masa ini terdapat kekangan untuk memberi penjelasan kepada semua 92,000 peneroka di seluruh negara memandangkan banyak negeri sedang berada dalam Fasa Satu Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN), selain ada kawasan dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Amiruddin berkata tempoh lebih panjang akan diberikan iaitu sebulan, berbanding 14 hari untuk peneroka membuat keputusan sama ada mahu menandatangani perjanjian berkenaan atau sebaliknya.

Beliau menganggarkan sekurang-kurangnya 20 peratus peneroka telah dan akan menandatangani perjanjian itu dalam masa terdekat, dengan masing-masing selepas ini hanya perlu membayar baki pinjaman sebanyak RM200 ke RM300 sebulan berbanding RM800 ke RM1,000 sebulan, selain pendapatan bersih akan meningkat.

“Secara purata hutang setiap peneroka adalah antara RM80,000 ke RM100,000 malah ada yang lebih RM200,000, iaitu hutang terkumpul sejak 20 ke 30 tahun lepas.

“Dengan perjanjian ini, rata-rata peneroka memberi respons positif kerana membabitkan pemansuhan hutang yang banyak, tetapi kita faham tidak semua peneroka jelas mengenai perjanjian itu kerana belum diberi penerangan,” katanya.

Pada 7 Julai lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan bersetuju melupuskan sebahagian pinjaman peneroka FELDA berjumlah RM8.3 bilion sebagai inisiatif penjanaan semula organisasi berusia 65 tahun itu.

Menurut kenyataan FELDA semalam, penghapusan itu adalah berdasarkan syarat bahawa peneroka perlu menyerahkan pengurusan kebun kepada organisasi itu, atau mereka masih dibenarkan mengurus kebun sendiri dengan syarat menghantar hasil sepenuhnya kepada FELDA.

Selain itu peneroka perlu membayar ansuran bulanan pinjaman sepenuhnya setiap bulan dan melaksanakan pengurusan kebun mengikut kaedah, piawaian, prosedur operasi standard (SOP) dan amalan pertanian baik ditetapkan FELDA. – Bernama

Tiada ulasan: