Jumaat, 23 Julai 2021

Penduduk Kampung Pukak kecewa, malu dihalau dari PPV

Penduduk daripada Kampung Pukak mendakwa dihalau dari PPV Tamparuli 
dengan cara mengaibkan.

KOTA KINABALU: Seorang penduduk dari Kampung Pukak, di Tuaran, menyatakan kekecewaannya selepas mendakwa dia dan kira-kira 20 lagi rakan sekampungnya dihalau dengan cara mengaibkan di pusat pemberian vaksin (PPV) Tamparuli, semalam.

Johnvis Nomin, 52, berkata kejadian berlaku kira-kira 8.15 pagi ketika dia sedang menunggu giliran untuk mendaftar bagi mendapatkan suntikan dos pertama vaksin Covid-19.

Beliau berkata, sebelum ini pihak JPKK (Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung) telah menghantar nama, bagaimanapun wujud kluster Covid-19 di kampung berkenaan.

“Klinik kesihatan di kampung sebelum ini juga memberitahu mereka yang mempunyai gelang (pesakit Covid-19) tidak dibenarkan pergi menerima vaksin di PPV dan kami beranggapan yang tidak mempunyai gelang ini boleh pergi,” katanya kepada FMT.

Johnvis Nomin.

Johnvis berkata, petugas di PPV berkenaan mula menyedari kehadiran penduduk daripada Kampung Pukak selepas salah seorang daripada mereka mendaftar di kaunter sebelum membuat pengumuman menyuruh semua penduduk dari Kampung Pukak meninggalkan pusat berkenaan.

“Apa yang menyedihkan, cara dia membuat pengumuman itu seperti memalukan kami, dia berkata ‘perhatian, kluster Kampung Pukak tolong balik sekarang kerana kami tidak mahu kena jangkit’,” katanya.

Tambah beliau, mereka tidaklah marah jika tidak dapat menerima vaksin pada waktu itu tetapi apa yang mengecewakan penduduk kampung ialah cara petugas menyuruh mereka pulang, yang disifatkan seperti ‘anjing’ kena halau.

“Bayangkan saya bersama beberapa penduduk Kampung Pukak yang lain berdiri dan bergerak ke kereta sambil diperhatikan oleh ratusan orang yang berada di situ, muka kami ‘merah’, kami berasa malu diperlakukan begitu,” katanya.

Terdahulu, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Masidi Manjun pada 20 Jul mengumumkan kewujudan Kluster Kampung Pukak yang dipercayai tercetus daripada majlis kenduri kesyukuran di kampung terbabit.

Katanya, majlis itu diadakan di Kampung Pukak pada 3 Jul lalu, manakala kes indeks kluster itu membabitkan seorang lelaki berusia 47 tahun dikesan positif pada 9 Julai.

Tiada ulasan: