KAJANG: Penduduk Seksyen 4, Bandar Baru Bangi `memendam rasa’ hampir sebulan apabila sampah domestik di kawasan perumahan mereka yang mempunyai kira-kira 100 buah rumah didakwa tidak dikutip kontraktor di bawah Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).
Selain sampah, sebahagian longkang di perumahan tersebut tidak dibersihkan sehingga menyebabkan sudah dua kali penduduk terserempak dengan ular.
Seorang penduduk, Datuk Abdul Rahim Jani berkata, lazimnya kutipan sampah di situ tiada masalah dengan pihak kontraktor akan mengutip pada setiap hari Isnin.
Menurut beliau, susulan sampah tidak dikutip kebanyakan rumah berlonggok sampah sehingga minggu lalu keluarganya dikejutkan dengan kemunculan ular sawa yang berkeliaran di kawasan sampah yang terbiar.
“Jiran saya hubungi bomba untuk menangkap ular itu tetapi tidak ditemui.
“Ini adalah kali kedua ular muncul dalam perumahan ini. Beberapa minggu sebelum ini pihak bomba berjaya menangkap seekor ular sawa agak besar dalam kawasan ini,” kata pesara polis itu ketika dihubungi semalam.
Beliau memberitahu, memang ular sawa tidak berbisa tetapi ramai penduduk di sini takut kerana dikhuatiri akan muncul lebih kerap kerana keadaan taman tidak diselenggara mengikut diperlukan.
Kata Rahim lagi, beliau mewakili penduduk di kawasan itu berasa kecewa dengan persekitaran perumahan itu yang kelihatan tidak terurus bukan sahaja masalah sampah tetapi longkang pula kotor.
“Hairan juga kenapa pembersihan longkang dilakukan di lokasi tertentu. Longkang di kawasan tertentu pula tidak dihiraukan,” katanya yang mahu pihak berwajib prihatin dengan masalah itu.
Jelasnya, pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak sepatutnya membiarkan sampah atau longkang dipenuhi rumput dan barang terbuang kerana ia mengundang pelbagai masalah termasuk demam denggi.
Tambahnya, beliau sendiri pernah menghubungi MPKj untuk membuat aduan berhubung perkara itu namun cubaannya gagal kerana talian tidak diangkat atau mungkin dalam keadaan sibuk.
“Kami faham musim Covid-19 mungkin penguat kuasa sibuk namun sesibuk mana sekalipun masalah penduduk yang tidak selesa perlu diselesaikan.- UTUSAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan