PETALING JAYA: Polis sedang mengesan dua lelaki dipercayai penagih dadah yang melarikan diri dari Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Ria, Pantai Dalam yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Laporan polis dibuat di Balai Polis Pantai selepas kejadian dua lelaki terbabit yang meloloskan diri dari kawat duri dipasang itu tular di Facebook hari ini.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, suspek dipercayai penagih dadah melarikan diri ke kawasan belakang sungai PPR terbabit sebaik sahaja melepasi kawalan kawat duri yang dipasang.
“Polis sudah menjalankan operasi dan sedang mengesan mereka untuk tindakan selanjutnya.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342),” katanya di sini hari ini.
Terdahulu tular video berdurasi dua minit empat saat dalam laman sosial menunjukkan dua lelaki meniarap sebelum meloloskan diri mereka daripada kawat duri yang dipasang di PPR Pantai Ria itu.
Kerajaan mengenakan PKPD di beberapa lokaliti di Kuala Lumpur
termasuk di PPR Pantai Ria bermula 1 sehingga 14 Julai ini. – UTUSAN
ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan