Sabtu, 10 Julai 2021

Pelajar IPT boleh pulang kampung mulai Isnin kecuali di lokaliti PKPD


Pelajar IPT boleh pulang sempena cuti semester. - Gambar hiasan

Pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dibenarkan pulang ke rumah masing-masing sempena cuti semester 2020/2021 mulai Isnin kecuali mereka yang terbabit dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam kenyataan hari ini berkata mekanisme kawalan pergerakan pelajar dilaksanakan secara berfasa iaitu bagi fasa permulaan hanya pergerakan pelajar yang tidak tertakluk kepada PKPD dibenarkan.

“Pergerakan pelajar dalam kawasan PKPD hanya dibenarkan selepas tempoh PKPD tamat,” menurut kenyataan itu.

Bagi pelajar yang pulang ke Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah dan Sarawak, kos ujian saringan Tindak Balas Berantai Polimerase (RT-PCR) ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan manakala kos kuarantin ditanggung kerajaan negeri masing-masing.

KPT memaklumkan kaedah pergerakan sehala ditetapkan iaitu menggunakan pengangkutan bas yang diselaraskan IPT masing-masing dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat.

KPT berkata penggunaan kenderaan sendiri oleh pelajar dibenarkan tetapi ibu bapa atau penjaga tidak dibenarkan merentas negeri untuk membawa pelajar pulang.

Kebenaran untuk pelajar IPT pulang ke rumah sempena cuti semester itu dipersetujui dalam Mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN), semalam, kata kenyataan itu.

Cuti semester bermula Julai hingga Oktober depan.

Perincian mengenai pergerakan pelajar boleh dirujuk pada SOP Pelan Pemulihan Negara dan Soalan Lazim Pergerakan Pelajar Pulang bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Pihak berkenaan juga boleh menghubungi Bilik Gerakan COVID-19 KPT yang beroperasi 24 jam sehari di talian 03-88706777/6949/6623/6628, menerusi laman web IPT atau berurusan dengan Pegawai Penyelaras di IPT masing-masing.

Tiada ulasan: