Sabtu, 10 Julai 2021

Bekas ratu cantik tumbuk polis, ambil dadah didakwa di mahkamah


Bekas ratu cantik didakwa atas dua pertuduhan.

Seorang bekas ratu cantik didakwa atas dua pertuduhan iaitu menumbuk anggota polis dan menggunakan dadah berbahaya di Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini.

Kohinoor Damodaran Kaittiani, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca kepada Majistret Zhafran Rahim Hamzah.

Mengikut pertuduhan pertama, wanita itu didakwa menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam dengan menumbuk anggota polis, Koperal Sharularifin Sarmadan.

Kesalahan dilakukan di Jalan Universiti, Petaling Jaya jam 3 pagi Khamis.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai dua tahun, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menggunakan dadah berbahaya jenis tetrahydrocannabinol di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya kira-kira jam 2 petang pada tarikh sama.

Bagi kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya, serta pengawasan tidak kurang dua tahun dan tidak lebih tiga tahun jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Lau Chia Xin mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam, Datin Raj Preet Kaur merayu agar anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar rendah kerana perniagaan restorannya terpaksa ditutup berikutan penularan Covid-19 ketika ini.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Zhafran membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 bagi pertuduhan pertama, manakala RM1,000 bagi pertuduhan kedua dan menetapkan 6 Oktober depan bagi sebutan semula kes.

Tiada ulasan: