Jumaat, 16 Julai 2021

Lelaki conteng tembok istana, tumbuk polis maut kemalangan

Oleh MOHD RAFIE AZIMI
KEADAAN motosikal ditunggangi suspek yang maut selepas terbabas di Bedong, Sungai Petani hari ini.

ALOR SETAR: Seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian menconteng dinding tembok Istana Anak Bukit di sini sebelum menumbuk seorang anggota polis wanita pada petang tadi maut dalam kemalangan di Bedong, Sungai Petani dekat sini.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, suspek berusia lingkungan 30-an itu dipercayai terlibat dalam kejadian khianat dengan menconteng dinding tembok istana tersebut kira-kira pukul 3 petang tadi.

“Suspek terus melarikan diri selepas kejadian dan siasatan mendapati suspek menconteng bahagian tembok dinding tembok itu dengan tulisan ‘SAMR’.

“Siasatan juga mendapati suspek menggunakan motosikal berwarna hitam dan operasi mengesan lelaki terbabit dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, suspek kemudian dipercayai pergi ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar dan menumbuk seorang anggota polis wanita sehingga cedera pada muka di hadapan pondok pengawal kira-kira pukul 5 petang tadi.

“Suspek turut membaling sebuah objek disyaki pistol mainan lalu melarikan diri,” ujarnya.

Ujarnya, usaha mengesan suspek diteruskan dan pihak polis telah menjumpai lelaki itu di kawasan Gurun dekat sini.

“Suspek bertindak melarikan diri sebaik sahaja menyedari kehadiran polis, namun motosikal ditunggang laju oleh suspek telah terbabas di kawasan Bedong dan suspek disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat, Seksyen 332 Kanun Keseksaan kerana mencederakan penjawat awam dan Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960 memiliki senjata tiruan. -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: