Isnin, 5 Julai 2021

Lebih RM600 juta disalur agensi agama kepada golongan memerlukan, kata menteri

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Mohamad (kiri) 
menyerahkan replika cek kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), 
Zulkifle Ali untuk pembinaan Masjid Kampung Sungai Isap 2, hari ini. (Gambar 
Bernama)

PEKAN: Bantuan dalam pelbagai bentuk bernilai lebih RM600 juta telah disalurkan menerusi agensi agama Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) kepada golongan yang memerlukan sehingga Jun.

Menterinya Zulkifli Mohamad berkata, sumbangan berkenaan disalurkan menerusi agensi antaranya Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Yayasan Waqaf Malaysia dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

“Usaha membantu mana-mana pihak yang memerlukan masih diteruskan, kita berterima kasih kepada pelbagai pihak yang turut sama menghulurkan sumbangan kepada golongan berkenaan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan replika cek pembinaan Masjid Kampung Sungai Isap 2, Kuantan kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Zulkifle Ali, hari ini.

Selain wang tunai, agihan bantuan turut diberikan menerusi dana perniagaan, latihan kemahiran dan wakaf kesihatan.

Sementara it, beliau berkata, inisiatif Gerobok Rezeki atau bank makanan, mendapat sambutan baik daripada pihak syarikat mahupun individu perseorangan yang turut sama menyumbang.

Tiada ulasan: