Isnin, 5 Julai 2021

Biar mahkamah tertinggi tentukan sah atau tidak fasal berkaitan darurat, kata peguam

Syed Iskandar Jaafar al-Mahdzar berkata, persoalan undang-undang mengenai 
darurat wajar diajukan ke Mahkamah Persekutuan untuk penentuan muktamad

KUALA LUMPUR: Seorang peguam berkata, persoalan berhubung undang-undang mengenai darurat wajar diajukan ke Mahkamah Persekutuan untuk penentuan muktamad.

Syed Iskandar Jaafar al-Mahdzar berkata, Fasal 8 dan 9 Perkara 150 Perlembagaan menyentuh tentang struktur asas undang-undang utama persekutuan itu.

“Penentuan oleh Mahkamah Persekutuan akan segera menamatkan prosiding ini,” katanya dalam hujah bertulis yang diserahkan kepada Mahkamah Tinggi dan dilihat oleh FMT.

Pendengaran lisan dijadualkan pada 14 Sept.

Katanya, tidak akan ada lagi rayuan atau semakan sekiranya Mahkamah Persekutuan menyelesaikan persoalan undang-undang itu.

Pada 22 Jan Syed Iskandar memohon perkara itu didengar di Mahkamah Persekutuan mengikut Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman.

Beliau memohon mahkamah agar menentukan sama ada pengisytiharan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong boleh dicabar atas sebarang sebab kerana Perkara 150 (8) Perlembagaan menghalang badan kehakiman mendengar aduan berkenaan keesahannya.

Perkara 150 (8) menyatakan mahkamah tidak mempunya bidang kuasa untuk melayan atau memutuskan apa-apa permohonan, soal, atau prosiding, dalam apa jua bentuk, atas apa-apa alasan, mengenai keesahan pengisytiharan (darurat) dan kuat kuasa berterusan proklamasi itu.

Syed Iskandar juga mahu mahkamah menentukan sama ada mengikut Perkara 150 (9), Parlimen dikatakan bersidang hanya apabila Dewan Rakyat dan Dewan Negara berhimpun bersama dan menjalankan urusan majlis masing-masing.

Beliau berhujah perkara ini akan berlarutan sekiranya persoalan undang-undang itu didengar di Mahkamah Tinggi kerana pihak yang terlibat akan merayu ke Mahkamah Rayuan.

Syed Iskandar berhujah persoalan undang-undang wajar diajukan kepada mahkamah tertinggi kerana awal tahun ini, hakim yang bersidang berbeza pandangan mengenai beberapa peruntukan penyingkiran (ouster clause) dalam dua undang-undang persekutuan.

Penghakiman minoriti berpandangan beberapa peruntukan penyingkiran itu bertentangan dengan struktur asas mahkamah selaku penyemak dan pengimbang badan eksekutif dan perundangan.

Hal itu menyebabkan permohonannya patut dianggap sebagai kes yang wajar diajukan ke Mahkamah Persekutuan, katanya.

Tiada ulasan: