Khamis, 1 Julai 2021

Khairy sahkan polis tubuh unit khas siasat penjualan vaksin


Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 telah membuat empat laporan polis berhubung ada pihak menjual vaksin.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin mengesahkan polis sudah memulakan siasatan berhubung dakwaan penjualan vaksin dan temu janji suntikan Covid-19.

Dalam sidang media mingguan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) hari ini beliau berkata polis telah menubuhkan satu unit khas susulan aduan dibuat berhubung dakwaan itu.

“Kami mahu polis segera menyiasat perkara ini dan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang terbabit dalam aktiviti menjual vaksin ini,” katanya.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu berkata, setakat ini, CITF telah membuat empat laporan polis bagi menyiasat dakwaan itu.

Sebelum ini, CITF menegaskan, tiada vaksin atau slot janji temu boleh dijual sama sekali, malah, pemberian suntikan vaksin adalah percuma kepada semua penduduk di bawah PICK.

CITF turut menjelaskan bahawa tiada kelulusan dikeluarkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid- 19 (JKJAV) kepada mana-mana pihak untuk tujuan ini.

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) sebelum ini juga mendedahkan aktiviti penjualan vaksin oleh syarikat swasta bukan penjagaan kesihatan kepada kumpulan persendirian dengan harga kira-kira RM400 bagi dua dos untuk seorang individu.

28 Jun lalu polis mengingatkan orang ramai bahawa jika ada tawaran berkaitan suntikan vaksin Covid-19 selain yang disediakan kerajaan dan mengenakan bayaran tertentu, ianya adalah palsu dan menipu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata ini kerana vaksin tidak boleh dijual di luar atau secara terbuka.

Oleh itu katanya, orang ramai dinasihatkan tidak terpedaya dengan sebarang taktik digunakan pihak yang kononnya menawarkan khidmat suntikan vaksin Covid-19 dengan bayaran tertentu di negara ini.

Hari ini Agenda Daily melaporkan Kerajaan Selangor menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) Industri yang sedang dilaksanakan menjual vaksin kepada syarikat dan bukan individu. Ia bagaimanapun tidak memperincikan jumlah kos untuk setiap vaksin dijual tersebut.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata program Selvax hanya terbuka kepada syarikat terlibat dalam sektor perkilangan dan industri memandangkan peningkatan kluster membabitkan dua sektor tersebut di negeri itu.

Tiada ulasan: