KUALA LUMPUR – Minggu epidemik ke-25 yang berakhir pada 26 Jun lalu menunjukkan peningkatan sebanyak 6.3 peratus kes kematian dengan purata 77 berbanding sebelumnya.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, secara kumulatif dalam tempoh yang sama, sebanyak 4,884 kes kematian dilaporkan.
“Pada minggu epid ke-25 iaitu dari 20 Jun hingga 26 Jun lalu, sebanyak 536 kes kematian keseluruhan direkodkan dengan purata 77 kematian sehari,” katanya ketika sidang media perkembangan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) bersama-sama Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin.
Namun, kes harian dilihat berkurang empat peratus berbanding minggu epid ke-24.
Tambah Dr. Adham, bilangan purata kes yang dirawat di Unit rawatan rapi (ICU) sehingga 26 Jun juga berkurangan empat peratus.
Dalam pada itu, beliau mengumumkan Kementerian Kesihatan (KKM) akan menggunakan peranti pintar dan pulse oxymeter di semua Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) sebagai mempertingkatkan kecekapan dalam pemantauan pesakit COVID-19 yang menjalani Pemerhatian dan Pemantauan Di Rumah (HSO).
Peranti pintar adalah alat untuk memantau pesakit supaya tidak keluar dari rumah atau tempat pengasingan.
Manakala pulse oximeter (dikenali di pasaran sebagai oximeter) pula untuk mengukur kadar oksigen seseorang.- MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan