Oleh KOSMO!
LONDON – Satu kajian mendapati sebilangan individu di seluruh dunia mengakui mengalami lebih 200 simptom Covid-19 panjang yang memberi kesan kepada kehidupan seharian mereka, termasuk saiz zakar semakin mengecil, lapor akhbar The Sun semalam.
Kajian secara online yang dijalankan di 56 buah negara itu menemui pelbagai masalah termasuk melibatkan otak, paru-paru dan kulit pesakit.
Hampir 3,400 responden yang mengambil bahagian adalah mereka yang disahkan atau disyaki dijangkiti Covid-19.
Daripada kajian tersebut, kumpulan penyelidik mengenal pasti sebanyak 203 simptom melibatkan 10 sistem organ manusia.
Antara masalah utama yang dialami responden adalah kegagalan fungsi seksual serta saiz zakar yang semakin mengecil.
Selain itu, beberapa masalah luar biasa yang dialami termasuk menopaus pada usia lebih muda, kegagalan untuk menguap dan menangis serta sikap agresif.
“Dalam kaji selidik unik ini, kami menyoal secara langsung penduduk di seluruh dunia untuk mendapatkan bukti.
“Jadi, ini adalah simptom Covid-19 yang paling menyeluruh yang dikesan setakat ini,” kata penulis kanan penyelidikan tersebut, Dr. Athena Akrami.
Tambah Akrami, kegagalan memori dan kognitif untuk berfungsi yang dialami oleh lebih 85 peratus responden merupakan gejala neurologi yang paling banyak dan berterusan.
“Selain itu, gejala seperti sakit kepala, kesukaran untuk tidur, vertigo, sensitif kepada bunyi bising dan cahaya serta halusinasi adalah antara simptom sensorimotor yang sering dialami,” ujarnya.
Berdasarkan penemuan tersebut, pasukan penyelidik turut melahirkan kebimbangan terhadap kemungkinan ramai lagi pesakit yang ‘menderita dalam diam’. – AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan