Sabtu, 10 Julai 2021

Genap usia 96 tahun: Tun M sedia berkhidmat, kongsi tips sihat ‘jaga makan’


tun m

KEADAAN kesihatan bekas Perdana Menteri , Tun Dr. Mahathir Mohamad sememang mengagumkan semua pihak, termasuk pemimpin kerajaan, pembangkang atau juga pemimpin dunia.

Pada usianya yang genap 96 tahun hari ini, beliau kelihatan masih sihat dengan mengadakan lawatan ke kawasan Parlimennya di Langkawi untuk meninjau proses vaksinasi penduduk.

Ketika ditemu bual pemberita di Pulau Tuba, Langkawi, Dr. Mahathir menyatakan kesediaannya untuk terus berkhidmat kepada rakyat selagi berupaya.

Beliau dalam masa sama turut menzahirkan kesyukuran kerana masih lagi dikurniakan nikmat sihat tubuh badan, selain masih mampu memberikan sumbangan kepada rakyat Malaysia.

Berkongsi formula penjagaan kesihatan, Dr. Mahathir yang pernah dua kali menyandang jawatan Perdana Menteri menasihati rakyat Malaysia supaya sentiasa memberi fokus kepada penjagaan pemakanan dengan memilih menu yang sihat.

“Saya bersyukur boleh berkhidmat lagi (walaupun sudah 96 tahun) dan selagi saya boleh bergerak, saya akan cuba bagi apa sumbangan yang boleh saya buat.

“Nasihat saya makan kena jaga-jaga, saya makan semua, cuma tak makan banyak… makan sikit sahaja, daging apa semua balas (makan), cuma (ada) limit.

“(Makanan berminyak) tidak makan banyak sangat, saya nak jaga tak bagi badan gemuk, kalau kita makan nasi banyak badan naik, jadi (makan) nasi sikit sahaja,” kata beliau.

Dr Mahathir berkata demikian selepas meninjau Program Outreach Vaksinasi COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Dewan KEDA Pulau Tuba, Langkawi, hari ini.

Beliau yang dilahirkan di Kampung Seberang Perak, Alor Setar pada 10 Julai 1925 menjadi individu pertama di Malaysia yang menjawat jawatan Perdana Menteri sebanyak dua kali iaitu bermula 16 Julai 1981 hingga 30 Oktober 2003 sebagai Perdana Menteri keempat serta menjadi Perdana Menteri ketujuh pada 10 Mei 2018 hingga 24 Februari 2020.

Beliau juga menjadi individu penting dalam membawa kemenangan kepada Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 apabila menumpaskan Barisan Nasional yang tidak pernah kalah dalam mana-mana PRU dalam tempoh 61 tahun.

Tiada ulasan: