MUSIM durian kali ini yang berlaku ketika kemuncak penularan COVID-19 tidak sesekali menghalang rakyat Malaysia daripada menikmatinya.
Di penjuru mana pun, durian tetap laris dan permintaan kekal tinggi hinggakan ada pengguna mengeluh kecewa kerana harga raja buah itu tidak lah turun walau pandemik.
Namun, durian, durian juga, tetapi prosedur operasi standard (SOP) kenalah jaga. Janganlah kerana nak berjual beli durian sampai SOP yang ditetapkan bagi membendung penularan COVID-19 diabaikan.
Ini seperti berlaku di sebuah premis menjual durian terkenal di Taman Industri Bolton, Batu Caves apabila pemiliknya dikompaun RM10,000 kerana gagal mematuhi SOP semalam.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, pihaknya menerima maklumat kedai terbabit beroperasi tanpa mematuhi SOP.
Bertindak atas maklumat, katanya, anggota Pasukan Pematuhan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak membuat pemeriksaan di kedai berkenaan.
“Semakan mendapati kedai itu mempunyai surat kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk beroperasi, namun jumlah pekerja melebihi kapasiti dibenarkan.
“Justeru, kompaun RM10,000 dikeluarkan mengikut Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 kepada majikan kerana gagal memastikan kapasiti pekerja mengikut SOP yang ditetapkan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, pemilik premis tersebut menerusi Facebook mereka memohon maaf di atas kejadian tersebut.
“Penjual durian dikompaun RM10,250 bila buat jualan durian kahwin RM5 sekilogram (melanggar SOP). Terima kasih abang kacak dan kakak-kakak cantik polis yang datang bagi kompaun dangan baik, tak ada marah-marah.
“Dah memang kami ada buat kesilapan, kami mohon maaf lah yang itu.. kebiasaannya tak ramai sangat orang beratur kat ezydurian.
“Tapi semalam memang sedikit di luar jangkaan kami. Maaf sekali lagi. Apa pun, kami tak salahkan pihak polis dan MPS. Dia orang cakap ada orang lapor, mereka perlu jalankan tugas,” kata Ezy Durian.
Sementara itu, Sinar Harian turut melaporkan premis berkenaan juga diambil tindakan mengikut undang-undang pihak berkuasa tempatan (PBT) oleh Majlis Perbandaran Selayang (MPS).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan