Sabtu, 17 Julai 2021

FB tidak kompromi aktiviti haram

Oleh Ilah Hafiz Aziz
FOTO HIASAN
FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR: Facebook Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana aktiviti haram dan ancaman penipuan yang boleh membahayakan sejumlah 27 juta penggunanya di negara ini.

Pemangku Pengarah Facebook Malaysia, Justin Murugaya, berkata isu keselamatan pengguna media sosial tetap menjadi keutamaan pihaknya malah syarikat media itu mempunyai dasar sifar toleransi terhadap penipuan dalam perkhidmatan.

"Kami akan mengambil tindakan segera untuk membuang sebarang aktiviti haram dengan secepat mungkin apabila ia dikesan.

"Malah kami memohon pengguna untuk membuat laporan sekiranya mengesan aktiviti sedemikian," katanya dalam jawapan menerusi email selepas sesi webinar kempen #TakNakScam yang dilancarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), hari ini.

Beliau berkata, ketika ini pihak tidak bertanggungjawab seperti penipu akan menggunakan pandemik COVID-19 untuk mengeksploitasi kelemahan mangsa.

"Ramai orang hari ini meluangkan masa yang panjang di dalam talian di pelbagai platform berbanding tempoh sebelumnya malah kemunculan banyak aktiviti dalam talian yang tidak sah juga berlaku," katanya.

Beliau berkata, kempen #TakNakScam adalah bertujuan untuk meningkatkan kesedaran, mendidik dan menggalakkan pemikiran kritis dan memperkasakan tindakan terhadap aktiviti sedemikian.

"Kami mahu setiap orang membicarakan mengenai situasi ini setiap masa," katanya.

Tiada ulasan: