Ahad, 18 Julai 2021

Ambil iktibar, patuhi SOP elak peningkatan kes dalam komuniti ketika Aidiladha, rayu Noor Hisham

Noor Hisham berkata, 267 kluster komuniti dengan 17,106 kes positif dilaporkan 
tercetus susulan sambutan perayaan lalu iaitu Aidilfitri dan Hari Gawai.

PETALING JAYA: Masyarakat diseru mengambil iktibar dengan sama-sama menjaga diri dan keluarga bagi mengelak penularan kes dan kewujudan kluster dalam komuniti ketika sambutan Aidiladha Selasa depan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau turut menyeru dan menasihati orang ramai supaya tidak mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) ketika menyambut perayaan bagi mengelak tercetusnya jangkitan Covid-19.

“KKM ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua penduduk Malaysia yang telah bersungguh-sungguh dalam mematuhi SOP yang digariskan dan terus kekal duduk di rumah.

“Walau bagaimanapun, terdapat juga segelintir individu atau pihak yang tidak bertanggungjawab serta mementingkan diri yang cuai dalam mematuhi SOP serta menyebabkan penularan kes atau kejadian kluster dalam komuniti. Bak kata pepatah, kerana nila setitik rosak susu sebelanga,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Beliau mengingatkan masyarakat bahawa larangan rentas daerah dan negeri masih berkuat kuasa, begitu juga larangan kunjung-mengunjung bagi menyambut perayaan.

Noor Hisham berkata, jangan disebabkan dalam keseronokan menyambut Aidiladha, ada pihak yang terkorban akibat Covid-19.

Noor Hisham, berkata sejak bermulanya pelaksanaan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi pada 1 Jun lepas hingga semalam, sebanyak 267 kluster komuniti dilaporkan tercetus susulan sambutan perayaan lalu iaitu Aidilfitri dan Hari Gawai.

“Kuster terbabit tercetus berikutan aktiviti kunjung-mengunjung di kawasan kejiranan atau kampung, perjumpaan antara ahli keluarga dari rumah berlainan ketika perayaan serta majlis pengebumian.

“Daripada 267 kluster komuniti ini, sejumlah 17,106 kes positif telah dilaporkan Kementerian Kesihatan. Kes-Kes tersebut dikesan daripada 72,755 individu yang disaring (kadar positiviti 23.5% ) melalui Pengesanan Kes Aktif yang dijalankan di lapangan oleh Pejabat Kesihatan Daerah secara berterusan,” katanya.

Noor Hisham berkata, beberapa kluster komuniti yang dilaporkan itu turut melibatkan aktiviti rentas negeri.

Katanya negeri yang melaporkan jumlah kluster rentas negeri tertinggi sejak 1 Jun ialah Perak dengan lapan kluster (38.1% ) diikuti Terengganu (lima atau 23.8% ) serta Kelantan (tiga atau 14.3%).

Tiada ulasan: